Sambutan Aidilfitri tahun ini jelas berbeza dari sebelumnya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tahun ini, tiada aktiviti ziarah-menziarah, berjabat tangan untuk bermaaf-maafan bagi menjamin keselamatan dalam memutuskan rantaian COVID-19.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam perutusan sempena Aidilfitri berkata sambutan hari raya tahun ini luar biasa.

Tegas beliau, walaupun tiada aktiviti ziarah-menziarahi, ia sama sekali tidak mematahkan silaturahim antara masyarakat majmuk di negeri ini.

“Pada tahun ini kita terpaksa berhadapan dengan keadaan yang luar biasa ekoran langkah dan perintah yang perlu dipatuhi oleh semua rakyat dalam mengekang COVID-19.

"Dengan penguatkuasaan yang ketat dan kerjasama seluruh rakyat negeri ini, usaha itu dilihat berhasil," katanya.

Bagaimanapun, Abang Johari mahu rakyat terus mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh PKPB terutama ketika musim perayaan.

Menurut beliau, ia bagi memastikan gelombang kedua wabak COVID-19 dapat dielakkan dan menurunkan risiko jangkitan virus semasa tempoh tersebut.

Selain itu, Abang Johari menambah, kerajaan negeri sentiasa tampil dengan inisiatif baru untuk menjamin kebajikan dan keselamatan rakyat pasca COVID-19.

Selain Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang bersifat jangka pendek, jelasnya Sarawak mempunyai perancangan jangka panjang termasuk memperkasakan ekonomi digital dengan lebih teliti merangkumi beberapa sektor utama.

“Program bantuan BKSS merupakan langkah jangka pendek untuk membantu rakyat, perniagaan serta industri kecil dan sederhana.

"Sebagai sebuah Kerajaan yang juga memikirkan impak jangka panjang COVID-19 kepada ekonomi negeri ini, satu dasar digubal untuk memastikan ekonomi Sarawak terus berkembang sehingga tahun 2030," katanya.

Program tersebut akan memberi tumpuan kepada sembilan sektor iaitu pertanian, komersil, pengeluaran, pelancongan, infrastruktur asas, perkhidmatan, pusat data dan inovasi, serta tenaga yang boleh diperbaharui.

Malah penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) diharap dapat membantu menyalurkan pandangan pakar dalam menjadi landasan kukuh untuk memulihara dan memperkasakan ekonomi Sarawak.