TELUPID: Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ulu Ansuan, sebuah sekolah di kawasan pedalaman dekat sini, sukar menahan airmatanya daripada mengalir di hari terakhir perkhidmatan beliau sebelum bersara wajib semalam.

George Odol, yang tular dengan pengalaman mendiami stor prasekolah di laman TikTok, membuat satu lagi hantaran di akaun media sosial itu yang memaparkan beliau duduk di tangga manakala murid berbaris untuk bersalaman dengannya.

Malah ada murid sebak dan menangis ketika memeluk guru besar kesayangan mereka itu.

George cuba untuk tampil tenang dan sentiasa mengukir senyuman namun sekali sekala beliau dilihat mengesat air matanya sendiri.

Menerusi hantaran lain, George memaklumkan hari terakhir beliau di sekolah itu ialah pada 24 Nov lepas namun memilih untuk menyelesaikan beberapa perkara sehari kemudian sebelum memulakan kehidupan di alam persaraan.

George turut menunjukkan kolam ikan yang menjadi kenangan beliau selama berkhidmat sebagai pentadbir sekolah itu sejak 2020 dan tandas yang sedang diselenggara dengan peruntukan RM70,000.

Dalam hantaran itu juga, kelihatan beberapa murid menemani beliau yang sedang berjalan ke kantin sekolah buat kali terakhir.

Meskipun sedih untuk meninggalkan sekolah itu, beliau berkata: "Tetap tenang, tetap ceria, tetap bersemangat walau di saat-saat akhir perkhidmatan saya sebagai pentadbir sekolah."

Seorang guru prasekolah Muhd Fareed Fuzi Awang, 35, pula berkata beliau sedih untuk berpisah dengan George kerana Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ulu Ansuan itu tidak berhenti berusaha bagi memastikan kebajikan staf serta muridnya.

"Kalau bukan kerana Cikgu George, saya mungkin masih terpaksa tinggal dalam rumah yang usang. Banyak jasa Cikgu George pada sekolah ini yang mungkin sukar untuk kami membalasnya," kata beliau ketika dihubungi Bernama.

BACA: Penantian lapan tahun guru SK Ulu Ansuan tinggal di rumah selesa jadi kenyataan 

George, yang berasal dari Inanam, berkata beliau akan menjalani persaraannya di Tongod di mana beliau memiliki rumah sendiri manakala masa lapangnya bakal diisi dengan aktiviti berkebun antaranya menanam durian.

Beliau berkata isterinya, juga seorang guru dan berkhidmat di Kota Kinabalu, serta dua anak mereka yang berumur 19 dan 16 tahun akan menemaninya ketika mereka bercuti.

Baru-baru ini, media melaporkan kisah George yang sanggup tinggal di dalam sebuah stor sekolah selama lebih tiga tahun demi meneruskan perjuangannya untuk mendidik anak bangsa.

Sekolah itu, yang mula beroperasi pada tahun 2000, tidak menyediakan kediaman untuk guru namun Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta tenaga pengajarnya telah mengambil inisiatif membina rumah terbabit namun ia dalam keadaan daif sebelum penambahbaikan dilaksanakan.

Kementerian Pendidikan telah memperuntuk RM200,000 bagi pelan jangka pendek iaitu projek menaik taraf kediaman guru bermula Jun lepas dan siap sepenuhnya bulan ini manakala bagi pelan jangka panjang, sebanyak RM12.5 juta diluluskan bagi mengatasi isu sekolah daif seterusnya memberikan kemudahan serta fasiliti pendidikan terbaik.

-- BERNAMA