KUALA LUMPUR: Hari Terbuka Parlimen Malaysia 2026 dijangka menerima lebih 10,000 pengunjung hari ini, sekali gus mencerminkan minat tinggi rakyat untuk mendekati institusi Parlimen dan memahami peranannya dalam sistem demokrasi negara.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila orang ramai mula hadir seawal jam 7.30 pagi bagi menyertai program dua hari berkenaan.
Menurutnya, penganjuran Hari Terbuka Parlimen bukan sekadar memberi peluang kepada rakyat melihat bangunan Parlimen, malah memahami proses serta perjalanan yang berlaku di dalam institusi legislatif negara.
“Jika dua tahun lalu kita menerima kira-kira 10,000 pengunjung, saya menjangkakan jumlah itu boleh dicapai dalam tempoh sehari pada tahun ini.
“Rakyat datang bukan sahaja untuk melihat bangunan Parlimen, tetapi untuk memahami inti pati dan apa yang berlaku di dalam Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Terbuka Parlimen Malaysia 2026 di Kompleks Parlimen Malaysia, pada Sabtu.
Johari berkata, program itu merupakan sebahagian usaha untuk mendekatkan Parlimen dengan rakyat serta memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap fungsi dan peranan institusi berkenaan.
Katanya, sambutan turut melibatkan kehadiran pelawat antarabangsa yang menunjukkan minat terhadap sistem demokrasi dan pentadbiran negara.
“Ini adalah usaha untuk merakyatkan Parlimen dan pada masa sama merakyatkan pemikiran ahli-ahli Parlimen serta pentadbir Parlimen supaya mereka sentiasa dekat dengan rakyat.
“Mereka bukan berada jauh daripada masyarakat, sebaliknya perlu turun bersama rakyat dan memahami aspirasi mereka,” katanya.
Dalam pada itu, hubungan saling menghormati antara institusi Parlimen dan rakyat perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan demokrasi negara terus berkembang secara sihat dan matang.