KUALA LUMPUR: Hari Terbuka Parlimen yang berlangsung dua hari bermula semalam berjaya menarik lebih 11,000 pengunjung, melebihi sasaran awal 10,000 orang.
Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata jumlah itu merupakan pencapaian terbaik program berkenaan sejak mula dianjurkan pada 2023, sekali gus menunjukkan keinginan masyarakat untuk mendalami peranan institusi yang menjadi lambang demokrasi negara.
“Kita banyak program untuk rakyat supaya rakyat lebih mengenali Parlimen. Ini rumah mereka, rumah wakil rakyat,” katanya pada majlis penutupan program itu di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Dr Ahmad Husaini Abdul Rahman, warga Parlimen dan kementerian serta agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Husaini berkata matlamat program itu adalah untuk merakyatkan Parlimen dengan memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri suasana dan proses yang berlaku di dalamnya memandangkan kawasan itu merupakan larangan pada hari biasa.
"Sebanyak 11,280 pengunjung direkodkan sepanjang dua hari program, berbanding kira-kira 8,600 pengunjung pada 2023.
"Peningkatan jumlah kehadiran ini menunjukkan kesedaran dan minat rakyat terhadap institusi Parlimen semakin meningkat," katanya.
Seorang pengunjung, Ahmad Firdaus Abdullah Tahrin, 43, berkata beliau mengambil kesempatan membawa anak-anak serta rakan mengunjungi Parlimen bagi memberi pendedahan secara langsung mengenai institusi berkenaan.
Beliau yang bertugas sebagai seorang guru berkata kunjungan itu penting supaya anak-anak memperoleh pengetahuan mengenai Parlimen bukan sahaja melalui buku teks, malah dapat melihat sendiri tempat persidangan dan memahami proses yang berlaku di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Apabila kita bawa mereka datang sendiri, mereka dapat lihat suasana sebenar dan lebih faham perkara yang mereka belajar dalripada buku teks,” katanya.
Beliau berkata pendedahan secara langsung itu dapat membantu anak-anak memahami undang-undang, dasar dan akta dibincangkan serta dilaksanakan, selain menjadi persediaan kepada mereka sebagai pemimpin pada masa hadapan.
-- BERNAMA