KUALA LUMPUR:Pembangunan di Kuala Lumpur perlu lebih lestari dan mampan seiring usaha menjadikannya sebagai sebuah bandar raya yang dinamik.

Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP), TPr Ihsan Zainal Mokhtar, berkata proses pembangunan semula ibu negara perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Tegasnya, masih terdapat kawasan terbiar yang boleh dibangunkan semula, berbanding meneroka kawasan hijau yang semakin suram di ibu negara ini.

"Kuala Lumpur tidak mempunyai banyak kawasan untuk dibangunkan tetapi kita sudah sampai di satu peringkat di mana bandar ini boleh menghadapi pembangunan semula.

"Banyak kawasan terbiar dibandingkan dengan keperluan perumahan, kita boleh bangunkan semula.

"Hutan jangan diusik, sebaliknya ditambah, kawasan lapang dan hijau perlu ditambah," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Ihsan pada masa sama menyambut baik inisiatif yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menghijaukan semula Kuala Lumpur termasuk usaha mewujudkan taman-taman awam baharu dan selain menjaga taman awam sedia ada.

"Inisiatif ini termasuk dengan mengwujudkan taman awam, termasuk yang dijaga, selain rancangan untuk mengadakan taman-taman awam yang baru.

"Seperti di Taman Tugu, ramai orang mungkin tidak tahu akan kewujudannya. Ia menghidupkan semula hutan yang dahulunya kawasan semak dan ditanam hampir 4,000 pokok dalam tempoh dua tahun ini," katanya.

Justeru, Ihsan melihat, pelaksanaan pembangunan hijau dan lestari di Kuala Lumpur boleh ditambah baik pada masa akan datang.

Beliau juga berharap agar lebih banyak sesi libat urus antara DBKL, Kementerian Wilayah Persekutuan dan warganya dapat diadakan.

"Ia seiring usaha memastikan projek pembangunan yang dilaksana memenuhi aspirasi dan kehendak setempat," kata beliau lagi.