KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menempelak Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa beliau cuba menuding jari mempersalahkannya kerana membuat pindaan kepada Akta Saraan Ahli Parlimen 1980.

Tegas Dr Mahathir, pindaan tersebut bertujuan untuk kerajaan mempertimbang memberi sedikit ganjaran kepada bekas Perdana Menteri sebagai mengenang jasa mereka dan bukannya untuk bermewah-mewah.

Sambil menempelak tindakan Najib membuat permohonan kepada Kabinet untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara, Dr Mahathir menjelaskan, kebiasaannya ganjaran yang diberi ialah rumah kerajaan sedia ada.

Berkenaan tindakan Najib itu, Dr Mahathir turut mempersoalkan apakah sumbangan Najib kepada negara?

"Tunku Abd Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaysia dan berjaya memerdekakan negara hanya dapat sebuah rumah papan. Rumah Tun Razak dijadi monumen.

"Tun Hussein pun tidak dapat apa-apa yang bernilai tinggi. Tun Rahah dapat rumah Kerajaan yang sedia ada," katanya dalam catatan terbaharu bertajuk 'Perdana Menteri?' di blog beliau hari ini.

BACA: Najib tolak tawaran hartanah RM100 juta

BACA: Hadiah hartanah RM100 juta kepada Najib: Anwar terkejut, paksa PH kaji semula persefahaman

Dr Mahathir malah menjelaskan beliau sendiri yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun tidak menuntut dan tidak menerima apa-apa selain daripada pencen dan RM10,000 sebulan untuk menyelenggara rumah.

"Sebidang tanah di Putrajaya telah ditawar kepada saya secara percuma apabila saya bersara tetapi saya telah tolak dan sebaliknya saya beli tanah di Putrajaya dengan harga seperti yang ditawar kepada penjawat awam apabila bersara," jelas beliau.

Jelas Dr Mahathir lagi, seorang Perdana Menteri tidak perlu kepada banyak ganjaran selepas bersara kerana pencen, gratuiti dan elaun yang diperolehi lebih daripada mencukupi untuk membina rumah sendiri yang selesa.