Mahkamah Syariah Perak akan menggunakan hasil kajian yang dibuat di peringkat universiti untuk membantu dari segi penghakiman.

Ini kerana, Ketua Hakim Syarie Perak Datuk Asa'ari Mohd Yazid berkata, terdapat isu-isu baharu di mahkamah itu yang memerlukan keputusan baharu.

Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah lazimnya akan diguna pakai sebagai panduan oleh masyarakat.

"Dalam isu-isu yang berbangkit di Mahkamah Syariah ini, mungkin ada isu-isu yang baru.

"Jadi, dengan wujudnya simbiosis ini, pihak universiti akan membuat kajian, penyelidikan di lapangan dan penyelidikan melalui kitab-kitab dan sebagainya, insya Allah akan membantu kita membuat keputusan di Mahkamah Syariah," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Jabatan Kehakiman Syariah Perak di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor USAS Tan Sri Nordin Kardi.

Menurut Asa'ari, antara kes yang banyak dirujuk di mahkamah syariah ialah penceraian dan fasakh.

"Fasakh ini adalah satu bidang yang luas, iaitu permohonan pembubaran perkahwinan, yang luas.

"Selain daripada yang biasa, seperti kes pukul, penderaan dan sebagainya, penderaan secara mental juga satu perkara yang kita memerlukan kajian mendalam untuk kita buat keputusan," tambahnya.

Buat masa ini, terdapat 120 penuntut USAS yang mengikuti pengajian di peringkah sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Syariah dan Usuluddin.