KUALA LUMPUR:
Peruntukan berjumlah RM100,000 disalurkan menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) bagi memenuhi keperluan serta meningkatkan kemudahan pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 38, Sabak Bernam, Selangor.
Peruntukan itu dimanfaatkan sepenuhnya menerusi Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) HASiL 2026, yang memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan sekolah dan sokongan terhadap keperluan warga pendidik.
Jabatan Khidmat Korporat HASiL dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, pelaksanaan inisiatif itu berdasarkan keperluan yang dikenal pasti bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam dan pihak sekolah.
“Antara usaha yang telah dilaksanakan termasuk menaik taraf dewan utama dan bilik muzik, menyediakan peralatan sukan, televisyen serta sistem siar raya, di samping menganjurkan kursus peningkatan kompetensi guru.
"Bagi tujuan tersebut, peruntukan berjumlah RM100,000 telah disalurkan melalui HASiL dan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan serta meningkatkan kemudahan pendidikan di sekolah berkenaan," jelas kenyataan itu.
Program yang bermula pada Ogos itu turut mengambil kira keperluan sekolah dalam pelbagai aspek, merangkumi pentadbiran, kurikulum, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Hal Ehwal Murid (HEM) dan kokurikulum.
“Pendekatan ini membolehkan bantuan yang disalurkan memberi tumpuan kepada keperluan sekolah secara menyeluruh, bukan hanya kepada penyediaan kemudahan fizikal.
"Selain membantu meningkatkan kemudahan pendidikan, HASiL turut mengambil peluang mendekati golongan murid melalui Program Sahabat HASiL yang melibatkan lebih 60 orang murid.
“Program ini menyediakan pendedahan awal mengenai percukaian menerusi sesi sembang percukaian, tayangan video dan permainan interaktif bagi memperkenalkan peranan cukai dalam pembangunan negara serta kemudahan awam yang dinikmati oleh masyarakat,” jelas kenyataan itu.