Skip to main content

Malaysia

Kerajaan salur bantuan RM540,000 kepada 54 keluarga mangsa tragedi banjir Nepal - Ramanan

Ramanan menyampaikan replika cek sumbangan kepada semasa Majlis Penyerahan Bantuan kepada Keluarga Mangsa Banjir Nepal 2026 di Menara Perkeso hari ini.  - Gambar Bernama
Ramanan menyampaikan replika cek sumbangan kepada semasa Majlis Penyerahan Bantuan kepada Keluarga Mangsa Banjir Nepal 2026 di Menara Perkeso hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM540,000 bagi membantu 54 keluarga rakyat Malaysia yang terkesan akibat tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal pada 26 Ogos lepas.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata setiap keluarga akan menerima bantuan khas itu secara sekali bayar.

Beliau berkata pada 4 Nov lepas, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyalurkan bantuan berjumlah RM174,000 kepada 28 keluarga pencarum yang layak, manakala bantuan khas kali ini diperluas kepada kesemua 54 keluarga yang terlibat.

Advertisement

"Walaupun bantuan ini tidak mungkin dapat menggantikan ketenangan yang hilang, Kerajaan MADANI berharap bantuan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh ahli keluarga ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan kepada Keluarga Mangsa Banjir dan Tanah Runtuh di Nepal di Menara PERKESO di sini hari ini.

Advertisement

Ramanan berkata susulan pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan wakil Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) pada 20 Okt lepas, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) diberi mandat untuk menyelaras dan memantau permohonan serta tindakan susulan berkaitan kebajikan keluarga mangsa.

Selain itu, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah KESUMA dipertanggungjawabkan membantu kesemua keluarga terlibat, khususnya dalam memastikan kebajikan dan keperluan mereka terus diberi perhatian sewajarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar, Kementerian Kewangan, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Pendaftaran Negara serta PERKESO dan MITRA atas kerjasama dalam menyelaras pengurusan bencana itu.

Sementara itu, Nurulhani Othman, 44, isteri kepada mangsa tragedi, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, berkata bantuan RM10,000 yang diterima akan digunakan untuk melunaskan baki hutang suaminya, selain komitmen kewangan lain yang masih tertunggak.

"Saya sangat bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu. Namun, perkara paling utama bagi saya ialah sijil anggapan kematian itu. Jika boleh, saya berharap prosesnya dapat dipercepat kerana dokumen itu penting untuk menyelesaikan segala urusan yang masih tertangguh," katanya.

Tempoh 10 tahun hidup berumah tangga, Nurulhani menyifatkan Mohd Fakhrul Munir sebagai seorang yang tegas, pemurah serta suka membantu orang lain, selain berkongsi minat sama dalam aktiviti pengembaraan termasuk sering menjadikan Nepal sebagai destinasi percutian mereka.

Selepas tragedi itu, Nurulhani berkunjung ke Nepal sebanyak dua kali termasuk pada 28 Ogos lepas iaitu dua hari selepas kejadian, bagi melihat sendiri keadaan di lokasi tragedi serta mendapatkan perkembangan mengenai suaminya.

Bagi Dr Nurliyana Ismail, 40, kehilangan adik lelakinya Muhammad Haziq Ismail, 36, dalam tragedi berkenaan masih sukar untuk diterima sepenuhnya oleh ahli keluarga.   

Mengenang kembali detik cemas ketika kejadian, pensyarah itu mula menyedari sesuatu yang tidak kena apabila mesej yang dihantar kepada adiknya serta sepupu mereka Azman Karim menerusi aplikasi Whatsapp hanya menunjukkan “single tick” sejurus berita mengenai bencana banjir di Nepal tersebar.   

Menyifatkan adiknya sebagai seorang yang ceria, manja dengan adik-beradik serta gemar memasak untuk keluarga, Nurliyana mengakui pemergian jurutera kabel dasar laut yang baru ingin membina kerjaya itu amat dirasai

"Kalau diberi peluang untuk mengembalikan dia, saya memang mahukan adik saya semula. Namun, jika ini sudah tertulis sebagai takdirnya, kami sekeluarga reda," katanya.

Mohd Fakhrul Munir, Muhammad Haziq dan Azman berada dalam kumpulan ekspedisi percutian yang sama ke Nepal dan Tibet ketika kejadian bencana itu berlaku.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement