Skip to main content

Malaysia

Malaysia perlu bersedia hadapi proses penghijrahan kuantum - Fahmi

Fahmi melawat reruai pameran selepas merasmikan NEXSEC 2026: Memperkasa Ketahanan Siber Melalui Kolaborasi, Inovasi dan Pembangunan Kompetensi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia MITEC hari ini. - Gambar Bernama
Fahmi melawat reruai pameran selepas merasmikan NEXSEC 2026: Memperkasa Ketahanan Siber Melalui Kolaborasi, Inovasi dan Pembangunan Kompetensi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia MITEC hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperkukuh persediaan menghadapi proses penghijrahan kuantum dengan memberikan tumpuan kepada komunikasi selamat kuantum bagi menjamin keselamatan infrastruktur dan data digital negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan infrastruktur digital termasuk rangkaian telekomunikasi, menara dan kabel gentian optik.

“Hal ini penting kerana yang kita lihat, trend dalam dunia sekarang lebih ke arah bukan hanya quantum cryptography, tapi juga komunikasi selamat kuantum untuk memastikan segala data yang kita salurkan sama ada melalui talian telekomunikasi, dalam gelombang mikro dan sebagainya tidak boleh dipecah masuk, tidak boleh dicuri atau digodam oleh penjenayah,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan NEXSEC 2026: Memperkasa Ketahanan Siber Melalui Kolaborasi, Inovasi dan Pembangunan Kompetensi di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Advertisement

Sehubungan dengan itu, Fahmi telah mengarahkan MCMC untuk mengadakan perbincangan meja bulat penyelidikan dan pembangunan serta tindakan susulan membabitkan kebanyakan pengendali rangkaian mudah alih, syarikat infrastruktur telekomunikasi dan syarikat menara telekomunikasi bagi meneliti persediaan menghadapi cabaran era pascakuantum.

Beliau berkata langkah itu penting kerana infrastruktur seni bina maklumat negara perlu bersedia menghadapi cabaran teknologi yang semakin kompleks, khususnya apabila dunia menghampiri era pascakuantum.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata kerajaan akan meneruskan dasar dwirangkaian 5G bagi memberikan keyakinan kepada pengguna serta memastikan kesinambungan perkhidmatan sekiranya berlaku gangguan pada satu daripada rangkaian.

“Dasar dwirangkaian ini juga memberikan satu aspek yang disebut redundancy. Sekiranya apa-apa berlaku kepada satu rangkaian, maka rangkaian kedua boleh diaktifkan,” katanya.

Beliau juga telah meminta kedua-dua rangkaian mengadakan perbincangan bagi membolehkan pengguna terus menerima perkhidmatan daripada rangkaian alternatif sekiranya berlaku kecemasan atau gangguan.

NEXSEC2026 yang dianjurkan MCMC berlangsung pada hari ini dan esok dengan menghimpunkan wakil kerajaan, agensi keselamatan, industri, institusi pengajian tinggi serta wakil negara anggota ASEAN bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan siber negara.

MCMC turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi mempertingkatkan perkongsian maklumat tentang ancaman siber, penyelarasan tindak balas serta pembangunan keupayaan antara kedua-dua agensi, selaras dengan fungsi dan bidang kuasa masing-masing.

Laporan rasmi Global Anti-Scam Alliance (GASA) “State of Scams” juga diserahkan kepada Fahmi yang antara lain menganggarkan kerugian akibat penipuan di Malaysia mencecah RM19.7 bilion dalam tempoh setahun, sekali gus menekankan kepentingan memperkukuh usaha pencegahan dan perlindungan pengguna.

Terdahulu, Fahmi dalam ucapan perasmiannya berkata negara perlu memberikan perhatian lebih serius terhadap keselamatan seni bina maklumat dan komunikasi selamat kuantum, sejajar dengan perkembangan yang turut menjadi perhatian banyak negara.

Beliau berkata usaha memperkukuh keselamatan infrastruktur digital juga memerlukan perancangan kewangan dan pengagihan sumber yang lebih teliti kerana pembangunan teknologi berkenaan melibatkan kos yang tinggi.

“Tidak ada gunanya kita memiliki infrastruktur atau seni bina maklumat bertaraf dunia sekiranya tidak disertai dengan keselamatan siber yang juga bertaraf tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata NEXSEC 2026 merupakan platform penting untuk mengetengahkan perkembangan keselamatan siber serta membolehkan pihak kerajaan dan industri berkongsi pandangan mengenai cabaran semasa dan langkah menghadapinya.

Beliau berkata laporan GASA yang dibentangkan pada program itu mendokumentasikan beberapa usaha kerajaan dalam menangani penipuan dalam talian, termasuk langkah MCMC dan syarikat telekomunikasi pada peringkat rangkaian.

Walaupun beberapa usaha telah menunjukkan hasil, beliau berkata penjenayah akan terus mencari ruang baharu untuk melakukan kegiatan mereka.

“Sebahagian daripada usaha ini telah membuahkan hasil, namun seperti yang boleh disahkan oleh rakan-rakan kita daripada Polis Diraja Malaysia, apabila satu pintu ditutup, pihak yang berniat jahat ini akan mencari pintu lain, tingkap lain atau celahan kecil untuk menyusup masuk," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement