Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengesan kegiatan kutipan zakat fitrah oleh amil tidak bertauliah yang menggunakan resit cetakan sendiri sama ada dikeluarkan oleh surau, sekolah dan parti politik di Pendang, Sungai Petani dan Baling baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, kegiatan itu dikesan di sebuah surau di Sungai Petani dan tiga aduan lagi membabitkan sebuah pertubuhan parti politik di Pendang dan masing-masing satu di sebuah sekolah aliran agama di Pendang dan satu lagi di Baling.

Katanya, ia berdasarkan aduan orang ramai dan siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Pengurusan Fitrah, Jabatan Pengurusan Zakat Harta LZNK yang turun menjalankan pemantauan dan penyamaran.

"Pasukan penyiasat seramai lima orang ini membuat tinjauan di beberapa daerah dan mendapati sebuah surau di Sungai Petani yang mengutip zakat fitrah menggunakan resit sendiri. Bagi resit yang dikeluarkan oleh parti politik, masih lagi dalam peringkat siasatan kerana LZNK hanya menerima aduan melalui gambar resit fitrah tertera logo parti politik di Pendang", katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, perbuatan amil tidak bertauliah itu adalah melanggar titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang menitahkan supaya seluruh umat Islam di Kedah menunaikan zakat harta dan zakat fitrah kepada ulil amri melalui LZNK yang menjadi wakil Baginda bagi tujuan mengutip dan mengagih zakat di Negeri Kedah.

Peluang penyelewengan

Syeikh Zakaria juga berkata, amil yang mengutip zakat secara persendirian ini juga membuka ruang dan peluang kepada penyelewengan dan pengagihan zakat secara tidak tepat dan tidak menepati golongan asnaf.

Berikutan itu, pihak LZNK akan mengadakan perbincangan bersama Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK) bagi mendakwa pihak yang terlibat mengikut Seksyen 9, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah Darul Aman berkaitan dengan pelanggaran titah Sultan Kedah.

Pihaknya juga akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sehingga menjelang 1 Syawal bagi membenteras kegiatan ini daripada terus berlarutan.

Beliau menyarankan agar penduduk di negeri ini termasuk yang akan pulang dari perantauan agar melunaskan zakat fitrah kepada 3,200 orang amil rasmi yang dilantik di masjid-masjid atau terus ke Pejabat Zakat Daerah (PZD) terdekat atau secara dalam talian di laman http://jom.zakatkedah.com.my.

"Pembayar juga boleh mengenal pasti amil rasmi yang dilantik melalui kad kuasa yang dipakai serta resit rasmi zakat fitrah LZNK yang mempunyai tanda keselamatan", kata beliau yang mensasarkan kutipan zakat fitrah pada tahun ini sebanyak RM12 juta berbanding RM9.4 juta pada tahun lalu.

Ini kerana, bermula tahun ini LZNK menjadi negeri yang pertama memperkenalkan pembayaran zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan iaitu dengan kadar minimum RM7, RM14 dan RM21.

-- BERNAMA