SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan menyemak terlebih dahulu sebelum membeli perhiasan khat ayat al-Quran di mana-mana premis.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata ini berikutan ada beberapa premis di sekitar Nilai dekat sini dikesan menjual perhiasan berkenaan dengan penggunaan ayat yang tidak sempurna sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat Islam.

"Kita mudah untuk meletakkan tanggungjawab kepada agensi penguat kuasa tetapi masyarakat sebenarnya bertanggungjawab memilih mana-mana perhiasan khat ayat al-Quran yang benar dan tepat mengikut peraturan dan syarak.

"Ini kerana kesilapan kecil dalam ayat al-Quran membawa makna yang berbeza, sebab itu tidak boleh ada walau sedikit kesalahan, kena ada sifar kesilapan dalam ayat berkenaan. Perkara itu sangat sensitif, masyarakat juga mungkin akan keliru dan terpesong jika penggunaannya salah," katanya kepada Bernama hari ini.

Justeru, beliau berkata para peniaga perlu menghentikan penjualan barangan perhiasan berkenaan yang dikenal pasti mempunyai kesalahan selain menyemak dan mendapatkan kelulusan pihak berwajib bagi menentukan kesahihan penggunaan ayat itu di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

Ahmad Zaki berkata mana-mana peniaga yang ingkar dan membuat kesalahan terbabit akan dikenakan tindakan yang sewajarnya selain barangan perhiasan yang tidak mematuhi peraturan akan dirampas dan disita pihak berwajib.

Dalam pada itu, beliau berkata tiga pemilik premis yang diperiksa dalam operasi semalam memberikan alasan tidak tahu ada kesalahan pada ayat dan hanya kesilapan kecil seperti penggunaan tanda baris yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku memandangkan peniaga terbabit adalah dalam kalangan orang Islam.

"Mereka ambil mudah perkara ini padahal ayat al-Quran sangat sensitif bagi umat Islam, sebab itu ada kes buang pelbagai perhiasan ayat suci al-Quran sebelum ini. Ia sebenarnya melibatkan akidah dan kepercayaan umat Islam, jadi sebarang yang berkaitannya perlu betul," katanya.

JHEAINS sebelum ini turut menemukan longgokan hiasan ayat al-Quran di tepi jalan di kawasan Perindustrian Arab Malaysia, Nilai dekat sini dipercayai dibuang peniaga perabot dari Kawasan Perindustrian Nilai 3.

Ahmad Zaki berkata pihaknya bersama agensi penguat kuasa lain termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Bandaraya Seremban sentiasa melakukan pemantauan di premis perniagaan di seluruh negeri selain advokasi kepada peniaga dan pembeli.

"Untuk makluman, premis yang menjual barangan itu bukan sedikit di sini, sebab itu kita minta bantuan pembeli untuk sama-sama bantu, kalau kita tak beli maka kita boleh bendung daripada terus berleluasa, bagi peniaga yang buat kesalahan sama, jangan ingat anda terlepas sebab kita sentiasa pantau," katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu boleh menyalurkan kepada JHEAINS atau agensi penguat kuasa lain termasuk polis dan PBT.

-- BERNAMA