MELAKA: Barangan peribadi Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, pegawai bomba yang rebah dan meninggal dunia ketika operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat pada Oktober 2021 menjadi pengubat rindu buat ahli keluarganya.

Barangan peribadi operasi arwah iaitu helmet dan jaket keselamatan diserahkan kepada anaknya, Muhammad Danish Hakim, 14, dan Nurul Annisa Ilya, 11, oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 peringkat kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir di sini hari ini.

Kedua-dua anak Mohd Diya menerima barangan peribadi bapa mereka dalam keadaan sebak dan majlis berkenaan turut dihadiri isteri Allahyarham, Noraida Che Noh, 41.

Noraida berkata dia terharu kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghargai jasa dan pengorbanan Mohd Diya, yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah walaupun Alalhyarham telah meninggalkan dunia lebih setahun lepas.

"Barangan berkenaan digunakan kali terakhir oleh arwah ketika operasi menyelamat sebelum lemas. Semestinya barangan peribadi arwah akan sentiasa mengingatkan saya dan anak-anak terhadap arwah dan dia akan sentiasa dirindui," katanya kepada pemberita pada majlis berkenaan.

Ibu kepada empat anak itu berkata dia bersyukur kerana kebajikan keluarganya diberi perhatian oleh JBPM dan seorang daripada anak mereka, Nurul Annisa Ilya, dijadikan anak angkat Pengarah JBPM Melaka.

Suri rumah itu berkata keluarganya juga sentiasa dijemput menghadiri pelbagai majlis yang dianjurkan JBPM sebagai penghargaan terhadap jasa arwah suaminya.

Sementara itu, seorang lagi anak Allahyarham, Nurul Ain Balqis, 18, berkata barangan peribadi itu akan disimpan dengan baik kerana ia antara barangan peribadi yang menggambarkan keberanian dan kecekalan bapanya ketika menjalankan tugas.

"Rasa gembira kerana dapat barangan arwah untuk kami empat beradik mengingati arwah ayah," katanya.

Dalam kejadian pada 20 Okt 2021, Allahyarham Mohd Diya rebah ke dalam air banjir di Kampung Sungai Putat ketika operasi menyelamat mangsa banjir dan meninggal dunia ketika dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka pada keesokan hari.

Allahyarham dipercayai sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing sebelum rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras separas dada orang dewasa.

Insiden itu disedari anggota bomba lain yang turut berada di situ dan mengambil masa hampir 10 minit untuk menyelamatkan Mohd Diya ke tempat selamat.

-- BERNAMA