Polis menasihati orang ramai agar menghentikan sebarang spekulasi berhubung insiden pergaduhan di Lebuhraya Plus pada Sabtu lalu yang membabitkan kematian seorang lelaki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi Astro AWANI berkata sebarang spekulasi yang dikeluarkan tanpa fakta sahih akan menjejaskan siasatan polis.

“Kita minta orang ramai henti buat spekulasi kerana ia akan menjejaskan siasatan pihak polis, dan ia juga merupakan satu kesalahan jika fakta itu tidak tepat,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurutnya, insiden yang kemudian tular di media sosial itu mengundang pelbagai spekulasi daripada kalangan netizen yang dilihat hanya memburukkan lagi keadaan.

Tambahnya, buat masa ini pihak polis sedang giat membuat siasatan dan akan menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada mahkamah untuk membuat keputusan sebaik siasatan selesai.

Polis turut menegaskan insiden yang meragut satu nyawa itu tiada sebarang kaitan dengan unsur perkauman seperti yang didakwa di media sosial, sebaliknya ia hanya perselisihan faham yang berpunca daripada kemalangan kecil.

BACA: Maut akibat bergelut gara-gara selisih faham selepas kemalangan

BACA: Suspek, isteri kes gaduh dan langgar di Bangi direman 7 hari