PAGI belum beranjak jauh. Kabus nipis masih bergayut di celah pohon ketika lelaki itu membenamkan mata cangkul ke dalam tanah.
Sekali. Dua kali. Pada hayunan ketiga, dia berhenti. Tanah yang terkuak di hadapannya kelihatan keras dan pucat.
Tidak seperti dahulu. Lelaki itu mencangkung lalu meramas segenggam tanah. Butirannya pecah dan luruh di celah jari.
“Tanah pun boleh penat,” katanya perlahan. Di belakangnya, barisan pokok terbentang luas dalam cahaya subuh.
Ada daun yang segar. Ada yang menguning di hujung. Dari arah semak kedengaran bunyi serangga bersahut-sahutan.
Selebihnya sunyi. Lelaki itu bangun, menyeka peluh yang baru hendak tumbuh di dahi, kemudia meneruskan langkah.
Dia tahu setiap lekuk di kebun itu. Tempat air selalu bertakung. Pokok yang paling lebat berbuah. Tanah yang dahulu gembur tetapi kini perlu dipujuk berkali-kali sebelum mahu memberi.
Tanah tidak pernah benar-benar diam. Di bawah teduh pohon getah, di celah akar sawit, di batas kebun koko, lada dan kenaf, tanah menyimpan cerita tentang jerih, kehilangan dan harapan.
Ia mengenal tapak kaki pekebun kecil yang turun sebelum matahari meninggi, membawa kudrat dan doa.
Ia juga menyaksikan anak muda meninggalkan kampung kerana tidak lagi melihat masa depan pada kebun keluarga.
Jika tanah mampu berbisik, mungkin pertanyaannya mudah sahaja.
Setelah sekian lama aku menghidupkanmu, apakah kamu masih mahu menjagaku? Apabila tanah berbisik, masihkah kita mendengar?
Daripada tanah itulah tumbuhnya rezeki sebuah bangsa. Getah ditoreh tatkala pagi masih gelap. Sawit dituai di bawah terik. Buah koko dibelah, lada dipetik dan kenaf diproses dengan tangan yang jarang dikenal orang.
Hasilnya bermula dari kebun seperti ini sebelum bergerak ke kilang, pelabuhan dan pasaran yang merentas lautan.
Di sepanjang perjalanannya, ia berubah menjadi wang belanja sekolah, makanan di atas meja dan simpanan untuk hari tua.
Komoditi tidak pernah sekadar tentang apa yang dituai. Ia adalah tentang kehidupan yang tumbuh bersamanya.
Namun, tanah yang sekian lama memberi kini semakin banyak meminta. Musim yang dahulunya akrab dengan manusia kini datang dalam rentak yang semakin sukar diduga.
Hujan datang tatkala bunga baru hendak menguntum. Kemarau pula enggan beranjak meskipun tanah telah merekah menagih air.
Penyakit datang tanpa sempat dibaca tandanya, meninggalkan daun yang pucat dan harapan yang semakin menipis.
Bagi orang di kota, perubahan cuaca mungkin sekadar panas yang mencengkam atau hujan yang memaksa langkah terhenti.
Bagi seorang pekebun, perubahan itu mempunyai harga. Ia menentukan banyak atau sedikit hasil. Cukup atau tidak pendapatan. Bertahan atau menyerah.
Dunia di luar kebun itu terasa jauh bagi lelaki itu. Dia tidak tahu di negara mana hasil daripada pokok-pokoknya akan berakhir.
Mungkin di rak sebuah pasar raya. Mungkin di dapur sebuah keluarga. Mungkin juga menjadi sarung tangan yang dipakai oleh seorang doktor ribuan batu dari situ.
Namun, dunia yang jauh itu kini mahu mengenali kebunnya.
Mereka mahu tahu dari tanah mana hasil itu datang. Siapa yang mengusahakannya.
Sama ada sungai terus mengalir jernih dan pekerja pulang dengan selamat selepas seharian membanting kudrat.
Pertanyaan itu akhirnya kembali juga ke pangkal jalan. Ke kebun. Ke tanah.
Hasil itu mungkin membawa nama Malaysia merentas lautan, tetapi kepercayaan tidak lahir daripada nama semata-mata. Ia lahir daripada jejak yang dapat ditelusuri dan janji yang benar-benar ditunaikan.
Cap dan pengiktirafan pada sehelai kertas tidak lebih daripada dakwat jika tanah terus terluka dan tangan yang mengusahakannya masih terbiar.
Pasaran yang jauh mahukan kepastian. Tanah di bawah kaki lelaki itu juga menagih perkara yang sama.
Di sebuah sudut kebun, lelaki tadi berhenti di hadapan timbunan pelepah dan sisa tanaman.
Dahulu semuanya dianggap sampah. Kini sebahagiannya dikembalikan kepada tanah.
Dia pernah diberitahu bahawa sisa itu masih mempunyai guna. Ia boleh menjadi baja, bahan bakar atau sesuatu yang lebih bernilai.
Kata-kata seperti ekonomi kitaran mungkin kedengaran besar di dalam dewan persidangan.
Di kebun itu, maksudnya lebih mudah. Apa yang diambil daripada tanah jangan semuanya dibuang. Sebahagiannya perlu dipulangkan.
Beberapa hari sebelumnya, anak lelakinya menghulurkan sebuah telefon bimbit kepadanya.
Pada skrin kecil itu, sebuah pesawat tanpa juruterbang meluncur di atas barisan pokok, membaca dari udara apa yang selama ini dicarinya dengan berjalan kaki.
Tanah yang kehausan dan pokok yang mula sakit muncul dalam warna dan tanda. Lelaki itu mendekatkan wajah ke skrin.
Sesekali dia mengangguk. Selebihnya diam. Kebun yang dikenalinya sejak puluhan musim itu seakan-akan sedang membuka rahsia dalam bahasa yang belum difahaminya.
Pagi itu, telefon lamanya tersimpan di dalam saku baju. Skrinnya retak di satu sudut. Capaian internet di kebun pula datang dan pergi.
Di situlah kemajuan kadangkala kehilangan jalannya. Ia dicipta di makmal, dipamerkan di pentas dan diceritakan dengan penuh bangga, tetapi tidak selalu menemukan jalan pulang kepada orang yang paling memerlukannya.
Bagi lelaki itu, teknologi tidak perlu datang dengan nama yang gah atau cahaya yang berkelip-kelip pada skrin. Dia hanya mahu sesuatu yang mengerti bahasa kebunnya.
Jika alat itu dapat memberitahunya tatkala kebun memerlukan air, mengesan penyakit sebelum daun kehilangan warna atau meringankan beban yang semakin berat ditanggung tubuhnya, itu sudah memadai.
Kemajuan hanya bererti apabila ia mampu menyentuh tanah dan memudahkan tangan yang mengusahakannya.
Di satu sudut rumah, sebuah fail plastik kian mengembung. Di celahnya berhimpun borang, salinan kad pengenalan, resit dan helaian yang dibacanya berkali-kali tetapi masih menyimpan tanda tanya.
Perubahan sering tiba kepadanya dalam bentuk petak yang perlu diisi, tandatangan yang perlu diturunkan dan belanja yang perlu dicari.
Dari balik meja, semuanya mungkin hanya urusan beberapa helai kertas. Di kebun, setiap tanda yang diminta membawa harga. Setiap jam yang dihabiskan mengurus helaian itu ialah waktu yang hilang daripada menjaga kebun.
Lelaki itu tidak menolak perubahan. Dia cuma tidak mahu ditinggalkan untuk memahaminya seorang diri.
Seseorang perlu datang, duduk di serambi rumahnya dan menerangkan satu demi satu. Seseorang perlu berjalan bersamanya ke kebun dan melihat sendiri keadaan tanah.
Jika orang kecil seperti dia tercicir, seluruh perjalanan hasil negara akan kehilangan pangkalnya.
Pangkal itu semakin rapuh apabila generasi baharu memilih untuk tidak kembali ke pangkuan tanah.
Anak lelakinya bekerja di bandar. Sesekali dia pulang dan membantu, tetapi tangannya lebih biasa dengan papan kekunci daripada hulu cangkul.
Bapanya tidak memaksa. Dia tahu kebun menawarkan hari yang panjang dan pendapatan yang tidak selalu menentu.
“Kalau ada masa depan, dia baliklah,” katanya. Nada suaranya datar. Matanya tidak.
Barangkali anaknya tidak perlu pulang dengan cangkul di bahu untuk meneruskan jejak bapanya. Dia boleh kembali dengan komputer di tangan, menerbangkan dron di atas kebun atau menemukan jalan yang lebih dekat antara hasil dan pembeli.
Lumpur mungkin tetap melekat pada kasutnya, tetapi di tangannya ada ilmu yang tidak pernah sempat dipelajari oleh bapanya.
Warisan tidak bererti mengulang setiap langkah orang terdahulu. Ada kalanya, warisan hanya dapat dipertahankan apabila generasi baharu berani menemukan langkahnya sendiri.
Namun, langkah baharu tidak harus memadamkan jejak lama. Lelaki itu tidak memerlukan alat untuk mengetahui hujan bakal turun.
Dia mengenal kedatangannya pada perubahan angin, membaca khabar pada warna langit dan gerak daun.
Tanah yang terlalu lembap pula menyampaikan pesan melalui bau yang bangkit setiap kali dicangkul. Anaknya membawa angka dan paparan pada skrin. Bapanya membawa ingatan yang dihimpun daripada puluhan musim.
Apabila kedua-duanya duduk semeja, masa depan kebun barangkali bermula pada pertemuan antara apa yang dapat dihitung dengan apa yang hanya dapat dirasa.
Menjelang tengah hari, kebun itu berubah warna. Kabus telah hilang. Cahaya matahari jatuh keras di atas daun. Lelaki itu berteduh sebentar lalu memandang barisan pokok di hadapannya.
Di situlah letaknya seluruh hidupnya. Ada hasil yang membesarkan anak-anaknya. Ada musim buruk yang menelan simpanannya.
Ada pokok yang ditanam oleh bapanya. Ada juga anak pokok yang mungkin hanya akan matang ketika dia sudah hilang tenaganya. Hasil tanah itu tidak lahir daripada kudrat lelaki itu seorang.
Di sebalik setiap tuaian, ada lebih daripada sepasang tangan yang bekerja. Ada tangan wanita yang menghitung belanja, mengurus hasil dan memastikan dapur tidak kehilangan apinya.
Ada anak-anak yang membesar daripada rezeki yang pulang bersama senja. Ada sungai yang membawa airnya ke kampung lain dan udara yang tidak pernah bertanya siapa berhak menghirupnya. Sebab itu, menjaga tanah bukan urusan satu tangan.
Setiap kehidupan di sekelilingnya tumbuh daripada akar yang saling bertaut. Kita sering bercakap tentang apa yang mahu diwariskan kepada generasi akan datang.
Namun, tanyakanlah kepada nurani, dalam keadaan apakah bumi yang sedang kita pinjam daripada mereka?
Jika tanah subur menjadi tandus, sungai menjadi keruh dan pekebun hilang punca rezeki, yang tinggal untuk mereka hanyalah bumi yang kehilangan nyawanya.
Tetapi jika tanah masih subur, sungai terus jernih dan tangan yang mengerjakannya tidak pulang dalam kehampaan, generasi selepas kita akan mewarisi bumi yang masih sudi memberi.
Lelaki itu kembali mencangkung. Segenggam tanah diambilnya sekali lagi. Kali ini dia tidak berkata apa-apa.
Tanah itu dibiarkan jatuh perlahan dari telapak tangannya, butir demi butir, kembali ke tempat asal. Angin tengah hari bergerak di celah daun.
Bunyi yang halus. Hampir seperti bisikan. barangkali tanah tidak meminta terlalu banyak.
Cukuplah manusia tahu batas ketika mengambil, tahu cara memulangkan dan tidak lupa mendengar. Di situlah kelestarian bermula.
Bukan pada kata-kata yang besar, tetapi pada kesediaan kita menyambut suara yang paling perlahan. Apabila tanah berbisik, masihkah kita mendengar?
* SM Amin adalah Setiausaha Angkatan Karyawan Nasional.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.