KUALA LUMPUR: Semua parti politik seharusnya membawa suara rakyat meliputi semua bangsa dan agama dan bukan menggunakan taktik kotor yang boleh menggugat perpaduan kaum.

Pensyarah kanan Universiti Poly Tech Malaysia, Prof Madya Sharifah Syahirah Syed Sheikh mengingatkan semua pihak terutama parti politik tidak menggunakan elemen tidak sihat.

"Kita perlu tumpukan kepada perpaduan dan ini masanya untuk menjaga hak generasi akan datang. Kerja kita sekarang ini menjaga generasi akan datang termasuk parti politi.

"Memang dah kerja parti politik untuk berpolitik tetapi pastikan bila berpolitik untuk kemenangan parti ia tidak menganggu gugat masa depan negara terutama menganggu gugat perpaduan negara," katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi.

Beliau turut mengingatkan pemimpin politik berhenti daripada memainkan sentimen perkauman dan etnik demi mendapatkan sokongan bagi mengekalkan kedudukan mereka.

Ini kerana tindakan itu boleh meruntuhkan usaha untuk membina perpaduan negara serta penyatuan bangsa ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan perpaduan merupakan agenda penting yang menentukan kestabilan politik dan ekonomi serta rencah dalam menyatukan rakyat berbilang kaum.