Polis akan mengesan individu-individu yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan di laman sosial atau blog yang berbaur penghinaan dan cercaan terhadap perjuangan anggota pasukan keselamatan yang mempertahankan negara di Lahad Datu, Sabah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata arahan telah dikeluarkan bagi menjejak individu yang dianggap sebagai ‘keji dan bodoh’ ini.

“Janganlah membuat tindakan bodoh seperti ini kerana ini adalah satu tindakan yang keji. Tidak ada rakyat seperti di negara-negara lain yang memperlekehkan tindakan pasukan keselamatan negara mereka yang berjuang untuk mempertahankan negara, kata Khalid.

Beliau kesal kerana masih terdapat segelintir individu di negara ini yang sanggup memperlekehkan usaha pasukan keselamatan mempertahankan tanahair dan beliau memberi amaran keras supaya perbuatan seumpama ini dihentikan.

“Kita akan menjejak mereka sehingga kita dapat dan saya memberi amaran kepada orang-orang seperti ini supaya menghentikan perbuatan mereka,” beliau berkata.

Serentak dengan itu, polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau laman sosial dan blog yang disyaki mengeluarkan kenyataan-kenyataan seperti ini.

Menurut Khalid juga pelbagai tindakan boleh dikenakan terhadap mereka yang ditangkap melakukan perbuatan tersebut dan sehingga kini terdapat beberapa individu-individu yang telah dikesan dan dikenalpasti oleh polis mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur penghinaan terhadap pasukan keselamatan.

Sementara itu, polis telah membuka dua kertas siasatan berkaitan insiden di Lahad Datu dan Kampung Simunul, Semporna dan telah berbincang dengan pihak peguam negara untuk mendakwa sejumlah besar individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dan mempunyai kaitan dengan pihak pengganas Sulu di Lahad Datu.

“Siasatan dilakukan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan beberapa lagi siasatan dibawah Kanun Keseksaan dan pada hari ini juga kita telah berbincang dengan pihak Peguam Negara untuk mendakwa mereka yang terlibat,” kata Khalid.