KUALA LANGAT: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk penduduk sekitar daerah ini menggesa tindakan tegas diambil berhubung penularan suntingan gambar haiwan berpakaian istiadat istana dikaitkan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Penaung Penasihat Persatuan Anak Kampung Seri Cheeding, Datuk Mohd Irwan Wiji berkata, sebagai anak jati Selangor, isu sebegini menimbulkan rasa tidak senang, marah dan tidak hormat dalam kalangan rakyat.
Advertisement
"Paparan gambar ini menjatuhkan martabat Istana Selangor.
"Terdapat pihak tertentu dipercayai mengeluarkan kenyataan berserta gambar tidak senonoh melibatkan Sultan Selangor selain melakukan tindakan dilihat mencabar dan tidak menghormati institusi Kesultanan Selangor," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas hadir bersama beberapa NGO dan penduduk tempatan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
Antara NGO yang hadir ialah Majlis Ayahanda Penasihat Negeri Selangor, Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islam Malaysia (Pekida) Malaysia Daerah Kuala Langat, Silat Gayong Makrifat Cawangan Negeri Selangor, Warisan Kesenian Laksamana (Wakalam), Hulubalang Tanah Melayu serta Gelanggang Hulubalang Muda Kanchong Darat.
Tegas Mohd Irwan, perbuatan menyunting gambar itu sangat dikesali kerana institusi diraja adalah lambang kedaulatan negeri dan perlu dihormati semua pihak tanpa mengira latar belakang.
"Kami memohon polis menjalankan siasatan segera terhadap individu atau pihak terlibat.
"Ambil tindakan tegas mengikut undang- undang sedia ada bagi memastikan keharmonian, keamanan dan rasa hormat terhadap institusi diraja terus terpelihara," ujarnya.
Pada Ahad, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han dalam kenyataan mengecam sekeras-kerasnya tindakan hantaran media sosial terbabit.
Tegas Sze Han, menyamakan mana-mana manusia dengan sifat binatang bukan sahaja tidak beradab dan melanggar norma serta tatasusila rakyat Malaysia, malah satu cubaan mampu mencetuskan kekacauan dalam negara berbilang bangsa.
Justeru, beliau menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan segera supaya pesalah dapat dihukum dengan hukuman berat berlandaskan undang-undang negara. - Sinar Harian