SELAMA: Lebih banyak tadika di Perak dijangka ditutup berikutan peningkatan wabak penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD), kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamarudin.

Beliau berkata sehingga kini, 42 tadika di negeri ini ditutup di bawah Akta Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dengan daerah Kinta mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 20 tadika diikuti Perak Tengah (enam).

"Minggu lepas kenaikan 10 peratus dan minggu ini kenaikan 15 peratus daripada biasa. Sehingga masalah ini ditangani, kesemua tadika tersebut akan ditutup sementara operasinya. Kami nasihatkan semua pihak supaya berhati-hati dan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

"Ada yang sudah ditutup sejak minggu ini dan ada yang ditutup secara sukarela atau berperingkat. Jadi, kami harap langkah berjaga-jaga terus diamalkan," katanya ditemui pada sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama Perikatan Nasional Larut di Dewan Majlis Daerah Selama di sini, hari ini.

Semalam, Mohd Akmal dalam laman Facebooknya memaklumkan 2,638 kes HFMD dilaporkan setakat Minggu Epidemiologi (ME) ke-19 yang berakhir 14 Mei lepas, berbanding 159 kes bagi tempoh sama tahun lepas, sekali gus menunjukkan peningkatan kes HFMD kira-kira 16.6 kali ganda.

Daripada jumlah itu, kes tertinggi dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun dan ke bawah iaitu 2,465 kes, diikuti 150 kes dalam kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun dan 23 kes berumur melebihi 12 tahun.

-- BERNAMA