KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa bahan bukti yang disimpan oleh pihak CyberSecurity dalam kes bekas Pengurus Petronas Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni mematuhi sepenuhnya piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh American Society of Crime Laboratory Directors (ASCLD).
Juruanalisis Kanan Digital Forensik di CyberSecurity Malaysia Abdul Wafi Abdul Rahman, 38, berkata prosedur rantaian jagaan dalaman agensi tersebut hanya terpakai secara dalaman pada peringkat makmal forensik.
"Rantaian jagaan dalaman ini secara dalaman sahaja, iaitu antara penerima, penjaga stor dan juga penganalisis. Perkara ini tidak termasuk pegawai penyiasat polis. Prosedur ini hanya terpakai untuk urusan dalaman selepas barang kes diserahkan kepada pihak kami," katanya.
Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan pada perbicaraan kes Mohd Khairul Akmal yang berdepan dengan pertuduhan cuba mendedahkan laporan perniagaan dan struktur kewangan Petronas kepada Petroleum Sarawak Berhad (Petros) pada 8 Jun 2024.
Semalam, Abdul Wafi memberitahu mahkamah bahawa beliau telah memeriksa sebuah komputer riba milik tertuduh, dua telefon bimbit serta pemacu USB antara 19 Dis 2024 hingga 24 Jan 2025 bagi mengenal pasti sama ada terdapat sebarang maklumat berkaitan cubaan penghantaran dokumen tersebut.
Sementara itu, Abdul Wafi berkata beliau tidak mengesan lokasi komputer riba milik Mohd Khairul Akmal yang didakwa cuba menghantar maklumat sulit berkaitan dengan perniagaan dan struktur kewangan syarikat minyak nasional itu kepada Petros kerana hal itu tugas syarikat telekomunikasi.
"Bukan tugas saya atau Cybersecurity Malaysia untuk mengesan lokasi pelaku atau keberadaan bahan bukti di dalam negara kerana perkara itu ialah tugas syarikat telekomunikasi," katanya.
Menurut saksi itu, beliau tidak menjalankan analisis sambungan Internet dalam rekod event log komputer riba berkenaan ketika menyediakan laporan forensik digital kerana perkara tersebut bukan skop yang diminta pegawai penyiasat.
"Sekiranya komputer riba berkenaan menggunakan sambungan hotspot atas nama individu lain pada tarikh kejadian berkenaan, aktiviti sambungan itu sepatutnya direkodkan dalam log," katanya.
Mohd Khairul Akmal, 41, didakwa cuba melakukan pendedahan maklumat, iaitu satu dokumen bertajuk “Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial” kepada Petros, yang dokumen berkenaan telah diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang, di sini, antara 3.19 petang hingga 3.21 petang, 8 Jun 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara hingga setahun, manakala Seksyen 511 membawa hukuman penjara tidak melebihi setengah daripada Seksyen 203A(1), jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung pada 9 Feb tahun depan.
-- BERNAMA