Skip to main content

Bisnes

Eksport Malaysia dijangka terus disokong permintaan E&E, produk komoditi - RHB IB

Eksport barangan perkilangan termasuk bahan kimia, mesin dan produk logam, juga berpotensi mendapat manfaat daripada aktiviti pengeluaran serantau yang berterusan serta permintaan berkaitan infrastruktur. - Gambar hiasan
Eksport barangan perkilangan termasuk bahan kimia, mesin dan produk logam, juga berpotensi mendapat manfaat daripada aktiviti pengeluaran serantau yang berterusan serta permintaan berkaitan infrastruktur. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan eksport Malaysia dijangka terus disokong oleh daya tahan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) serta permintaan berterusan terhadap produk berkaitan komoditi, khususnya gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Bank pelaburan itu berkata pihaknya mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport 2026 pada 34.4 peratus, disokong pertumbuhan kukuh sebanyak 37.1 peratus setakat ini, sekali gus mengukuhkan prospek positifnya terhadap prestasi perdagangan luar negara.

“Eksport barangan perkilangan lain, termasuk bahan kimia, mesin dan produk logam, juga berpotensi mendapat manfaat daripada aktiviti pengeluaran serantau yang berterusan serta permintaan berkaitan infrastruktur,” katanya dalam satu nota hari ini.

Advertisement

Sementara itu, RHB IB berkata eksport E&E dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, disokong kitaran peningkatan teknologi global yang berterusan, khususnya perkembangan pesat pendigitalan, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan peningkatan permintaan terhadap pengkomputeran berprestasi tinggi.

Menurutnya kepelbagaian asas eksport Malaysia, ekosistem pembuatan yang mantap serta integrasi mendalam dalam rantaian bekalan serantau dan global akan terus menyokong aktiviti eksport meskipun ketidaktentuan global masih berlarutan.

Advertisement

“Integrasi Malaysia yang semakin kukuh dalam rantaian bekalan semikonduktor global dipacu AI telah mengukuhkan hubungan antara permintaan semikonduktor global dengan eksport E&E domestik, dengan eksport litar bersepadu menyumbang lebih 50 peratus daripada penghantaran E&E.

“Selain itu, pelaburan berterusan dalam pusat data, pengkomputeran awan dan infrastruktur digital sokongan dijangka terus menyokong permintaan terhadap semikonduktor serta komponen elektrik berkaitan,” katanya.

Bagaimanapun, kemampanan kitaran peningkatan teknologi yang dipacu AI kekal sebagai risiko utama kepada prospek eksport, memandangkan pertumbuhan perbelanjaan modal berkaitan AI yang lebih sederhana, inventori kembali kepada paras sebelum ini atau keadaan kewangan yang lebih ketat boleh menjejaskan permintaan semikonduktor global.

Bank pelaburan itu turut memberi amaran bahawa perkembangan geopolitik dan pergerakan harga minyak mentah kekal sebagai faktor luaran penting, dengan ketegangan berpanjangan berpotensi mengganggu aliran perdagangan global serta meningkatkan kos pengeluaran, pengangkutan dan operasi.

Menurutnya, gangguan terbaharu terhadap penghantaran yang melalui Selat Hormuz telah menyebabkan bekalan tenaga global semakin terhad, dengan harga minyak mentah Brent diniagakan melebihi US$90 setong.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement