Ringkasan AI
- Polis menahan tiga individu dan merampas produk kesihatan, kosmetik serta makanan bernilai RM1.27 juta dalam operasi di Banting, Selangor.
- Operasi diketuai JKDNKA Bukit Aman bersama beberapa agensi penguat kuasa, melibatkan rampasan 1,044 kotak produk dan pelbagai barangan lain.
- Kes disiasat mengikut beberapa akta berkaitan, dengan kompaun berjumlah RM6,500 dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dan MPKL.
KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga individu serta merampas pelbagai produk kesihatan, kosmetik dan makanan bernilai RM1.27 juta dalam satu operasi di sebuah premis logistik di Banting, Selangor semalam.
Ops Taring Dosej yang dijalankan kira-kira 12.10 tengah hari itu diketuai Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa.
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar berkata mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik syarikat dan dua lelaki warga Bangladesh yang juga pekerja di premis berkenaan.
Beliau berkata pemeriksaan menemukan 1,044 kotak produk kesihatan dan kosmetik, 1,300 botol produk suplemen dan kesihatan, 38 kotak produk sup tremella tulen, 65 kotak produk koenzim Q10 serta pelbagai produk makanan dan minuman berasaskan teh serta makanan ringan.
“Kesemua barang rampasan diserahkan kepada agensi penguat kuasa berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.27 juta, dengan Kementerian Kesihatan (KKM) menyumbang nilai rampasan tertinggi sebanyak RM1.26 juta, diikuti Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat (RM5,167) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) (RM4,745).
Operasi itu turut disertai Bahagian Farmasi Negeri Selangor KKM, KPDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Cawangan Klang, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Dalam operasi sama, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM4,500, manakala MPKL mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM2,000.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Makanan 1983 serta peraturan berkaitan.
Mohd Zaki berkata polis akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan dan risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta pengedaran barangan yang menyalahi undang-undang.
-- BERNAMA