Skip to main content

Malaysia

Hidupan liar perlukan landskap hutan luas untuk kekal hidup - WWF Malaysia

Sulong kelihatan berjalan menuju ke arah Gua Musang. FOTO: Tular
WWF Malaysia turut menggesa orang ramai supaya tidak memberhentikan kenderaan untuk melihat dan memberikan makanan kepada haiwan itu. - Media sosial via Sinar Harian
Advertisement

IPOH: Seekor gajah jantan dewasa yang dikesan berkeliaran di sepanjang Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, sejak 17 Ogos lepas, menjadi peringatan bahawa hidupan liar memerlukan landskap hutan yang luas dan bersambung untuk terus hidup.  

Dalam kenyataan menerusi hantaran Facebook, World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF Malaysia) memaklumkan koridor hidupan liar amat penting bagi memastikan gajah dapat bergerak dengan selamat antara habitat untuk mencari makanan, air dan tempat berlindung.

"Sehubungan dengan itu, penting untuk memelihara hutan dan koridor ekologi, selain menangani isu kehilangan habitat dan tanah.

“Sementara itu, kami turut menggalakkan pihak berkepentingan berkaitan meneruskan usaha untuk mengenal pasti dan memperkukuh langkah-langkah di kawasan lintasan hidupan liar, yang dikenal pasti di sepanjang Lebuh Raya Gerik-Jeli, berdasarkan data pergerakan hidupan liar serta kajian pemuliharaan yang mengambil kira keadaan di setiap lokasi,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut WWF Malaysia, pihaknya turut menggesa orang ramai supaya tidak memberhentikan kenderaan untuk melihat dan memberikan makanan kepada haiwan itu.  

"WWF Malaysia kekal komited untuk melindungi gajah di Malaysia …  dan berharap Sulong mendapat penjagaan dan perhatian yang sewajarnya," menurut kenyataan itu.

WWF Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), yang menjalankan rondaan dua kali sehari, termasuk mendapatkan khidmat pakar veterinar bagi menilai keadaan fizikal Sulong.

Semalam, dilaporkan bahawa Perhilitan Perak terus memantau gajah liar berkenaan yang dipercayai bernama Sulong Chalil, selain berusaha menghalau haiwan ini kembali ke hutan.

Gajah itu mengalami kecederaan pada kaki depan sebelah kanan, namun masih mampu bergerak dengan baik.

Dua hari lepas, video tular dalam media sosial yang memaparkan gajah berkenaan berjalan di JRTB.

Gajah itu dikatakan berasal dari Chalil, Gua Musang, sebelum dipindahkan ke kawasan hutan di Gerik  oleh Perhilitan, namun dipercayai kembali ke habitat asalnya melalui laluan berkenaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement