Hikayat Fandom lancar empat buku di SIBF 2025

Antara buku paling laris pada hari pertama SIBF 2025 yang berlangsung di Pusat Konvesyen Setia City, Shah Alam, mulai 28 Nov hingga 5 Dis 2025. - Foto Hikayat Fandom
SHAH ALAM: Bagi meraikan kebangkitan budaya Pan-Asia Tenggara, Hikayat Fandom semalam melancarkan empat penerbitan terbaharu pada Festival Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvesyen Setia City bermula pada 28 Nov lepas hingga 5 Dis ini.
Ringkasan AI
- Hikayat Fandom melancarkan empat penerbitan terbaharu pada Festival Buku Antarabangsa Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, merayakan kebangkitan budaya Pan-Asia Tenggara.
- Ninot Aziz, pengasas Hikayat Fandom, menerangkan bahawa penerbitan tersebut melibatkan tiga buku terbaru yang merangkumi ensiklopedia, novel fiksyen sejarah, dan buku puisi, dengan kolaborasi serantau yang menonjolkan warisan budaya.
- Selain itu, pelancaran tersebut turut mengumumkan versi bahasa Melayu Kembara Leyla-Rahsia Empayar Uthmaniyah dan buku A Book of Poems: Meowgical Tails Of Malaysia, sementara Anugerah Storyteller Guild 2025 dianugerahkan kepada Shanthini Venugopal.
Mengulas lanjut, Presiden Persatuan Sastera Lisan Kebangsaan (PERSALINA) itu berkata bagi Ensiklopedia Mini Bersiri Tamadun Dunia Silam, buku itu ialah mini pertama daripada koleksi lima buku hasil kolaborasinya bersama-sama 20 pakar dunia, ahli akademik dari Malaysia, Indonesia, Singapura, United Kingdom, Portugal, Sweden serta ilustrator seni dari Dublin, Malaysia dan Indonesia.
"Karya ini menghimpunkan pengetahuan dan ilmu mengenai kerajaan purba, kuasa maritim, kesusasteraan dan epik kuno, seni bina, tokoh patriotik dan tapak warisan ke dalam sebuah jilid bergambar yang mengagumkan.
"Ensiklopedia ini ialah jambatan budaya kita antara masa silam dengan masa depan. Dengan menghimpunkan ilmu ini daripada pakar dunia, kita menuntut kembali keberadaan serumpun serantau yang sewajarnya dalam tamadun dunia," katanya.
Selari dengan pelancaran ensiklopedia itu, Ninot turut memperkenalkan Kembara Leyla-Rahsia Empayar Uthmaniyah, versi bahasa Melayu yang diterjemah daripada Leyla's Quest-Echoes of Uthmaniyah serta ditulis semula oleh beliau bersama dengan penterjemah Irni Fazrita Farid.
"Yang bermula sebagai sebuah projek terjemahan kini berkembang menjadi gerakan sastera berskala serantau dan antarabangsa. Kami juga telah mengesahkan versi Indonesia untuk penerbitan pada 2026," katanya.
Selain itu, turut dilancarkan buku A Book of Poems: Meowgical Tails Of Malaysia hasil nukilan Prof Mohd Said Bani C. M. Din dengan lukisan oleh Shahren Retashah, menceritakan perjalanan tiga kucing Basyirah, Muezza dan Ashqar ke seluruh destinasi terindah di Malaysia.
Acara berkenaan turut menyaksikan Anugerah Storyteller Guild 2025 diberikan kepada Shanthini Venugopal yang merupakan seorang penggiat teater serta pelancaran laman sesawang Hikayat Fandom, iaitu www.hikayatfandom.com.
Selain itu, majlis pelancaran buku berkenaan turut diserikan dengan persembahan khas oleh penyanyi Aisha Retno yang membawakan lagu Mayang Sari daripada koleksi GEMA HIKAYAT dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Turut hadir pada pelancaran itu ialah Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Datin Paduka Mastura Muhamad, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia Khair Ngadiron dan Pengasas Bersama Hikayat Fandom Rudy Daud.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami



