Siasatan rapi sedang dilakukan berhubung kehilangan sebuah alat Radiografi Perindustrian (RDD) mengandungi isotop radioaktif iaitu Iridium 192 yang dilaporkan hilang pada 10 Ogos lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata ini bukan kejadian kali pertama kehilangan peralatan tersebut kerana kes sama pernah dilaporkan tahun lepas.

“Kejadian seperti ini bukanlah kali pertama berlaku dan difahamkan pernah berlaku pada tahun lepas. Bagaimanapun, tiada mana-mana pihak tampil untuk memaklumkan telah menemui alat berkenaan setakat ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Gotong-Rotong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini pada Isnin.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berhubung kehilangan alat RDD seberat 23 kilogram dan berharga kira-kira RM75,000 milik sebuah syarikat di Shah Alam itu.

Alat berkenaan dilaporkan hilang ketika dibawa pulang oleh dua juruteknik sebuah syarikat dari Seremban ke Shah Alam antara jam 2 pagi hingga 3 pagi pada 10 Ogos lepas.

Alat yang memancarkan radiasi Beta dan Gamma itu dikhuatiri disalah guna termasuk oleh pengganas bagi membuat bom.

Mohamad Fuzi turut mengesahkan dua pekerja syarikat tersebut telah ditahan reman sehari selepas kejadian namun telah dibebaskan pada Jumaat lepas selepas kenyataan kedua-dua individu warga tempatan itu selesai direkod.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata PDRM sedang bekerja sama dengan pihak berkuasa Thailand bagi menyiasat laporan dan mengenal pasti suspek susulan penemuan bom di Narathiwat, Selatan Thailand yang didakwa dibuat di negara ini.

"Kita sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengenal pasti suspek-suspek yang terlibat,”katanya.

Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata laporan berhubung penemuan bom itu yang turut menyenaraikan nama lapan suspek akan diserahkan kepada Bukit Aman.

Ini susulan Polis Diraja Thailand menemui 41 butir bom buatan sendiri bersama alat peledaknya di dalam sebuah trak pikap yang ditahan dalam sekatan jalan raya di Kampung Saring, Daerah Takbai pada Jun lepas.

-- BERNAMA