Mayat yang ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Gunung Damavand, Iran hari ini dikenal pasti sebagai Syed Redzuan Syed Salim Shatri.

Ketua Ekspedisi, Rozaimi Mohd Said berkata rakannya Mohd Khafiz Bachok yang terlibat dalam operasi SAR mengesahkan jasad itu ialah Syed Redzuan, 50.

Pada masa ini, mayat sedang dibawa keluar dari kawasan berkenaan dan Mohd Khafiz telah secara positif mengesahkan jenazah itu ialah Syed Redzuan.

"Mohon semua sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah," katanya kepada pemberita melalui aplikasi WhatsApp.

Rozaimi berkata operasi SAR akan diteruskan esok bagi mengesan seorang lagi pendaki iaitu Ramli Abd Majid, 44.

Sementara itu, isteri Syed Redzuan, Yuszahanim Yusoff berkata beliau sedang berusaha bersama-sama dengan pihak kedutaan Malaysia di Iran untuk membawa jenazah pulang ke Malaysia secepat mungkin.

Beliau berkata, jasad suaminya telah ditemui di Yakhar Glacier, Gunung Damavand setelah enam hari operasi pencarian.

"Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh," katanya.

Terdahulu Rozaimi dilaporkan berkata satu mayat ditemukan dalam operasi SAR mencari dua pendaki rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang di Gunung Damavand, pada 20 Nov lepas.

Menurut Rozaimi, mayat itu ditemukan di Yakhar dalam keadaan berpakaian jaket merah, seluar hitam serta but mendaki.

Dua pendaki iaitu Syed Redzuan dan Ramli disahkan hilang di gunung setinggi 5,610 meter itu selepas mereka terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain. -- Bernama