ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 81 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan di Kuala Kedah pada Selasa.
Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, berkata serbuan yang dijalankan pada jam 9.50 pagi itu mendapati kebanyakan pekerja sedang menjalankan tugas dan tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
Menurut beliau, seramai 127 individu yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing telah diperiksa dalam operasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 81 PATI ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Mereka terdiri daripada 73 lelaki dan lapan wanita, membabitkan 42 warga Bangladesh, 26 warga Indonesia, 10 warga Myanmar, seorang warga Pakistan dan dua warga India.
“Mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, termasuk memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta melanggar syarat pas yang dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Mohd Ridzzuan berkata, sebuah Saman Kepada Saksi (Borang 29) turut dikeluarkan dalam operasi sama bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, semua PATI yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk proses dokumentasi sebelum ditempatkan di Depot Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
“JIM Kedah akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan tanpa kompromi bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.
“Tindakan tegas juga akan dikenakan terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati menggaji, melindungi atau memberi perlindungan kepada warga asing yang melanggar undang-undang imigresen,” katanya.