Skip to main content

Sukan

Bintang WWE Brock Lesnar umum bersara

Sumber: IG Brock Lesnar
Bintang dan bekas juara dunia WWE, Brock Lesnar secara rasmi mengumumkan persaraannya, sekali gus menamatkan antara kerjaya paling gemilang dalam sejarah gusti profesional juga dan seni bela diri campuran (MMA). - Gambar fail/Instagram/@brock._.lesnar
Advertisement

BINTANG dan bekas juara dunia WWE, Brock Lesnar secara rasmi mengumumkan persaraannya, sekali gus menamatkan antara kerjaya paling gemilang dalam sejarah gusti profesional juga dan seni bela diri campuran (MMA).

Memetik laporan ESPN, Lesnar, 49, mengesahkan penampilannya pada acara SummerSlam 2026 di Minneapolis, Ahad lalu, merupakan aksi terakhirnya sebagai penggusti profesional.

“Saya berada di sini hari ini untuk memberitahu dunia bahawa saya sudah bersara,” katanya ketika muncul dalam program The Pat McAfee Show, pada Selasa.

Lesnar mengakui dia sebenarnya sudah memikirkan untuk bersara selepas tewas kepada Oba Femi di WrestleMania 42, apabila dia meninggalkan kasut but dan sarung tangannya di tengah gelanggang sebagai simbol seorang penggusti apabila bersara.

Namun, panggilan daripada WWE serta perasaan bahawa dirinya masih mempunyai sedikit tenaga untuk terus beraksi mendorong 'The Beast Incarnate' itu kembali untuk lagi satu perlawanan.

“Sabtu lalu, bagi Brock Lesnar, itu sahaja,” katanya sambil menegaskan dia tidak lagi akan beraksi di dalam gelanggang atau mana-mana arena pertandingan lain.

Pada acara SummerSlam, Lesnar bertarung buat kali terakhir menentang Femi dalam perlawanan 'Hell in a Cell' di negeri kelahirannya, Minnesota.

Lesnar, yang tewas dalam perlawanan itu, memeluk Femi dan mengangkat tangannya sebelum mengisytiharkan bintang kelahiran Nigeria itu sebagai 'masa depan', manakala menggelar dirinya sebagai 'masa lalu'.

Ia menjadi detik simbolik ‘passing the torch’ daripada seorang jaguh yang pernah mendominasi WWE selama lebih dua dekad kepada Femi, yang kini dilihat sebagai antara calon utama untuk menjadi wajah baharu syarikat itu.

Pengumuman itu menutup perjalanan luar biasa seorang atlet yang berjaya menakluk dua dunia berbeza, iaitu gusti profesional yang berteraskan hiburan serta MMA yang merupakan pertarungan kompetitif sebenar.

Sebelum menyertai WWE, Lesnar merupakan juara gusti heavyweight NCAA Divisyen I pada 2000 bersama University of Minnesota, selain dua kali dipilih sebagai All-American.

Dia kemudian membuat penampilan sensasi di WWE pada 2002 dan hanya memerlukan beberapa bulan untuk memenangi kejohanan King of the Ring sebelum menewaskan Dwayne ‘The Rock’ Johnson bagi merangkul gelaran WWE pertamanya.

Lesnar turut memenangi perlawanan Royal Rumble pada 2003 dan 2022 serta Money in the Bank pada 2019, selain mengumpul 10 kejuaraan dunia sepanjang beberapa era berbeza dalam WWE.

Namun, pencapaian yang mungkin paling diingati peminat ialah ketika dia mengejutkan dunia dengan menamatkan rekod kemenangan 21-0 The Undertaker di WrestleMania 30 pada 2014.

Kemenangan itu bukan sahaja menjadikan Lesnar individu pertama menewaskan 'The Deadman' di WrestleMania, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara watak paling dominan dalam sejarah WWE.

Sepanjang kariernya dalam gusti profesional, Lesnar juga cukup sinonim dengan gerakan penyudah F5 serta 'German Suplex' yang sering digunakan untuk mendominasi lawannya.

Di luar WWE, Lesnar pernah mencuba nasib dalam 'American football' bersama Minnesota Vikings sebelum beralih kepada MMA.

Dalam hanya pertarungan profesional keempatnya, dia menewaskan Randy Couture pada UFC 91 pada 2008 untuk bergelar juara heavyweight UFC, satu pencapaian yang jarang dapat disamai mana-mana atlet.
 

Must Watch Video

Advertisement