Skip to main content

Gaya Hidup

Desdemona: Apabila Shakespeare berbicara dalam bahasa sunyi Noh

Artis Noh Jepun, Kuzu Takakiyo membawakan watak Desdemona
Artis Noh Jepun, Kuzu Takakiyo membawakan watak Desdemona menjadi mangsa dendam, konspirasi, manipulasi dengan bukti palsu, hingga berakhir dengan kematian di tangan suaminya, Othello.
Advertisement

SEBUAH tragedi klasik berusia lebih 400 tahun bertemu dengan satu tradisi teater berusia lebih tujuh abad, apabila Desdemona yang dipersembahkan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) dari 30 Julai hingga 2 Ogos 2026 mempertemukan Othello karya William Shakespeare dengan estetika teater Noh Jepun oleh Jinya Imai yang merupakan antara tokoh penting teater Noh kontemporari Jepun hari ini.

Eksperimen rentas budaya yang mengajak penonton merenung cinta, pengkhianatan, kepercayaan dan pengampunan menerusi bahasa persembahan yang jauh berbeza daripada kebiasaan dalam teater Barat dibawakan melalui hasil kerjasama The Japan Foundation Kuala Lumpur, KL Shakespeare Players dan Life Art Union (ION), menjadi karya adaptasi Othello ini melalui pergerakan yang halus, vokalisasi tradisional dan ruang yang sengaja dikosongkan.

Image
Kawano Seiichi memegang watak Sami, watak yang berfungsi sebagai penghubung antara alam kehidupan dan alam roh
Kawano Seiichi memegang watak Sami, watak yang berfungsi sebagai penghubung antara alam kehidupan dan alam roh.

Desdemona: Perjalanan jiwa selepas kematian

Desdemona, Jinya Imai tidak menceritakan semula keseluruhan naratif asal secara literal. 

Sebaliknya, karya ini menumpukan kepada perjalanan jiwa Desdemona, selepas kematian, mengimbau kembali kesetiaan cinta, cemburu, pengkhianatan dan takdir menerusi bahasa simbolik teater Noh dilakonkan oleh Kuzu Takakiyo merupakan artis teater Noh. 

Kehadiran Kawano Seiichi sebagai seorang Sami memperluaskan skop penceritaan daripada sekadar konflik rumah tangga kepada persoalan yang lebih besar tentang kehidupan, kematian, takdir dan penebusan. 

Manakala Sarai sebagai figura Aphrodite, bukan watak dalam teks Othello, tetapi Jinya Imai menjadikan ianya simbol mitologi bagi menjelaskan lambing kecantikan dan tentang ketulusan cinta yang pada asalnya murni boleh berubah kerana pengkhianatan, cemburu dan kemusnahan apabila dimanipulasikan oleh manusia seperti Lago lakonan Yoshimatsu Akira, merupa seorang pegawai bawahan yang kecewa apabila Othello tidak melantiknya sebagai leftenan. Kekecewaan itu menjadikan titik mula kepada rancangan liciknya untuk menghancurkan Othello.

Jinya Imai: Membawa Noh melangkaui Jepun

Di sebalik produksi ini adalah Jinya Imai merupakan pelakon Noh, pengarah, penulis skrip dan komposer yang mewakili Life Art Union (ION) dan Silk Road Noh Association. 

Dilahirkan  dalam keluarga Noh yang mempunyai warisan panjang, Imai mula belajar seni ini sejak kecil di bawah bimbingan datuknya, sebelum menjalani latihan formal di National Noh Theatre Training Programme dan menamatkan pengajian di Tokyo University of the Arts. Atas sumbangannya dalam seni persembahan, beliau menerima Outstanding Award daripada Japan Directors Association pada 2021.

Kerjaya antarabangsanya membawanya berkolaborasi dengan pengarah dan koreografer kontemporari seperti Jerome Bel semasa menetap di Perancis, serta membuat persembahan di ibu pejabat UNESCO Paris, sempena ulang tahun ke-70 hubungan Jepun–Malaysia, dan sempena ulang tahun ke-1,400 Putera Shotoku di Kuil Horyuji. 

Image
Lim Kien Lee (Malaysia) memegang watak Othello, seorang panglima yang akhirnya tewas kepada hasutan, cemburu dan prasangka
Lim Kien Lee dari Malaysia memegang watak Othello, seorang panglima yang akhirnya tewas kepada hasutan, cemburu dan prasangka

Desdemona turut menjadi sebahagian daripada siri terbaharunya, The Present of Trans-Border Noh (2025), yang menampilkan sembilan produksi asli termasuk Medea Noh dan Medea Machine.

Bagi Imai, Noh bukan sekadar warisan Jepun yang eksklusif. 

"Saya percaya bahawa Noh bukan sekadar warisan Jepun. Ia ialah bahasa kemanusiaan yang mampu berbicara kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira bangsa atau negara. 

"Saya tidak mahu mempersembahkan Noh sebagai sesuatu yang eksklusif, tetapi sebagai satu bentuk seni yang boleh berdialog dengan budaya lain," katanya.

Mencari ruang di antara dua tradisi

Persoalan besar yang membayangi mana-mana eksperimen interkultural sebegini ialah: sejauh mana satu tradisi "dikorbankan" demi yang satu lagi? Imai sendiri menegaskan bahawa itu bukan matlamatnya.

"Saya tidak mahu Shakespeare hilang dalam Noh, dan saya juga tidak mahu Noh menjadi sekadar hiasan kepada Shakespeare. Yang saya cari ialah ruang di mana kedua-duanya dapat saling mendengar dan saling memperkayakan," jelasnya.

Falsafah ini turut membentuk pendekatan lakonan dan pengarahan beliau sepanjang menghasilkan produksi kerana "Dalam Noh, kita tidak berlakon untuk menunjukkan emosi. 

Kita mencipta ruang supaya emosi itu lahir dalam diri penonton. Kadang-kadang satu langkah yang perlahan lebih bermakna daripada seratus perkataan," tambah Imai.

Imai turut menjalani latihan intensif bersama barisan pelakon Malaysia yang diterajui oleh Lim Kien Lee sebagai Othello, Lim Soon Heng sebagai Emilia, Lee Swee Keong sebagai Badut/Takdir dan Zaifri Husin sebagai Cassio menjadikan suatu proses yang bermakna apabila asas saling belajar itu berlaku bukan sekadar memindahkan teknik.

"Saya tidak datang ke Malaysia untuk mengajar budaya Jepun. Saya datang untuk belajar budaya masyarakat tempatan dan mencipta sesuatu bersama di Kuala Lumpur. Pertukaran budaya yang sebenar berlaku apabila kita saling mendengar dan saling mempercayai," ujarnya. 

Imai yang turut bermain sendiri Kotsuzumi iaitu gendang kecil, manakala alat perkusi muzik Jepun tradisional  seperti Ōtsuzumi dan Taiko dimainkan oleh Hazuki Asako. 

Mereka tutur kolaborasi bersama Santosh Logandran bagi membentuk atmosfera ritual bagi mengawal tempo dan emosi sepanjang persembahan.

Menurut Imai misinya menerusi Life Art Union (ION) melangkaui sebuah pementasan semata-mata. "Kami percaya bahawa kehidupan itu sendiri ialah seni. 

Setiap manusia ialah seorang seniman. Seni bukan hanya berlaku di atas pentas, tetapi dalam cara kita menghormati budaya orang lain, memahami kehidupan dan membina hubungan sesama manusia."

Seni sebagai jambatan kemanusiaan

Desdemona menghidupkan prinsip ini secara harfiah di atas pentas. Ia bukan "westernisasi" Noh, mahupun "orientalisasi" Shakespeare. 

Sebagaimana ditegaskan sendiri oleh Imai, matlamatnya bukan menghasilkan Noh yang kehilangan Shakespeare, atau Shakespeare yang menjadikan Noh sekadar hiasan tetapi satu ruang ketiga di mana kedua-dua tradisi saling mendengar dan saling memperkayakan. Inilah glokalisasi dalam erti kata sebenar: bukan penyerapan sehala, tetapi rundingan budaya yang menghasilkan bahasa persembahan hibrid dan baharu.

Sebagai sebuah produksi rentas budaya, Desdemona merupakan pencapaian yang signifikan dalam landskap seni persembahan Jepun-Malaysia. 

Ia membuktikan bahawa sebuah teks klasik Barat mampu ditafsir semula melalui estetika Timur tanpa kehilangan nilai kemanusiaannya dan bahawa pertukaran budaya yang sebenar bukan sekadar pemindahan pengetahuan sehala, tetapi proses pembelajaran bersama yang memperkayakan kedua-dua pihak.

Walaupun terdapat ruang yang masih boleh diperkemaskan dari segi mengimbangi kekuatan dramatik Shakespeare dengan pendekatan kontemplatif Noh, hakikat ini tidak mengurangkan kepentingan Desdemona sebagai eksperimen artistik yang berani. 

Dalam dunia yang semakin saling terhubung, produksi seperti ini membuktikan bahawa seni benar-benar tidak mengenal sempadan dan apabila dua tradisi besar dunia bertemu di atas pentas, yang lahir bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi satu wacana baharu tentang kemungkinan dialog antara tamadun.


  • Zahari Hamzah ialah penulis seni, pengamal teater dan pengurus program yang aktif menulis mengenai seni persembahan, warisan budaya dan teater tradisional Melayu.
  • Dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang komunikasi strategik, pengurusan acara dan pengurusan seni, beliau memberi penekanan kepada kajian, dokumentasi dan penulisan berkaitan Mak Yong, Main Teri serta dramaturgi interkultural.
  • Menerusi penulisan dan amalan seni, beliau berusaha memperkukuh pemahaman terhadap warisan persembahan Melayu sebagai khazanah budaya yang dinamik, terus berkembang dan kekal relevan dalam landskap seni kontemporari di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

 

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement