Sebelum mengakhiri sidang media COVID-19 hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebak apabila mengumumkan persaraan rakan seperjuangannya dalam memerangi COVID-19, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon yang tamat perkhidmatannya hari ini.

Dr Rohaizat juga dianggap sebagai salah seorang 'panglima perang' buatnya.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan hari ini bahawa ini adalah kali terakhir salah seorang 'panglima perang' saya, Dr Rohaizat Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) bersara wajib pada 10 Jun 2020 selepas berkhidmat lebih 35 tahun 10 hari. Beliau telah bersama pasukan KKM mengharungi dan memerangi wabak COVID-19.

"Setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada beliau kerana memberi komitmen yang tinggi sepanjang perkhidmatan beliau kepada rakyat Malaysia," katanya sambil menahan sebak semasa sidang media harian di sini pada Rabu.

Sejurus selesai pengumuman persaraan itu, Dr Rohaizat turut mendapat tepukan dari mereka yang hadir di sidang media berkenaan.