GERIK: Kehilangan seorang warga emas terjawab apabila jasadnya ditemui dalam keadaan reput di kawasan kebun pisang dekat Kampung Lawin di sini, pada Rabu.

Mayat lelaki berusia 75 tahun itu ditemui orang awam sebelum memaklumkan kepada polis sekitar jam 10.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kehilangan mangsa disedari anaknya selepas lelaki itu tidak dapat dihubungi selama tiga hari.

Menurutnya, anak mangsa kemudian meminta bantuan bapa mentua untuk mencari di rumah, namun mendapati mangsa tidak berada di situ.

"Semasa dalam perjalanan pulang, lelaki itu telah ternampak sehelai kain tuala di kebun pisang dan menghampiri untuk pemeriksaan.

"Sebaik berada hampir, lelaki berusia 40 tahun tersebut ternampak mangsa dalam keadaan tertiarap dan mengesyakinya telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, proses bedah siasat telah dijalankan di Hospital Gerik dan mendapati punca kematian tidak diketahui disebabkan keadaan mayat yang telah mereput.

Katanya, siasatan lanjut yang dilakukan di lokasi kejadian juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian," katanya. - Sinar Harian