Skip to main content

Malaysia

Himpunan Malaysia Bersama Palestin 2026 malam ini lancar Tabung Bantuan Kemanusiaan YWM

Sirajuddin berkata JAKIM melihat himpunan itu sebagai wadah menyatukan kekuatan kerajaan, NGO, institusi agama, media dan masyarakat dalam memperjuangkan agenda kemanusiaan sejagat. - Gambar fail/Bernama
Sirajuddin berkata JAKIM melihat himpunan itu sebagai wadah menyatukan kekuatan kerajaan, NGO, institusi agama, media dan masyarakat dalam memperjuangkan agenda kemanusiaan sejagat. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tabung Bantuan Kemanusiaan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) akan dilancarkan menerusi penganjuran Himpunan Malaysia Bersama Palestin 2026 di Dataran Putrajaya malam ini bagi menghimpunkan sumbangan rakyat Malaysia untuk membantu golongan memerlukan, khususnya rakyat Palestin.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata tabung itu menjadi wadah meringankan penderitaan golongan berkenaan, sekali gus menterjemahkan solidariti kepada tindakan nyata.

“Perjuangan rakyat Palestin menuntut keadilan tidak boleh bergantung kepada perhatian dunia yang datang dan pergi. Sebaliknya, ia memerlukan komitmen dan solidariti yang berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisement

Beliau berkata himpunan bersempena dengan Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin hari ini membawa mesej jelas bahawa Malaysia tidak pernah melupakan Palestin serta terus komited memperjuangkan hak, kebebasan dan keadilan untuk rakyatnya.

Penganjuran itu merupakan cetusan idea dan manifestasi komitmen Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang diterjemahkan melalui kepimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dengan kerjasama agensi di bawah jabatan berkenaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak.

Advertisement

Sirajuddin berkata JAKIM melihat himpunan itu sebagai wadah menyatukan kekuatan kerajaan, NGO, institusi agama, media dan masyarakat dalam memperjuangkan agenda kemanusiaan sejagat.

Beliau berkata pelbagai inisiatif kerjasama turut digerakkan sejak 2023, termasuk Ops Ihsan yang menghimpunkan 52 NGO Malaysia bagi menyelaras bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin secara lebih tersusun dan bersepadu.

“Sokongan rakyat Malaysia terhadap Palestin kekal utuh merentasi kaum, agama dan latar belakang, seperti dibuktikan melalui penyertaan ribuan masyarakat dalam pelbagai himpunan sejak 2023,” katanya.

Himpunan Malaysia Bersama Palestin pada 2023 mencatatkan kehadiran lebih 15,000 peserta, diikuti Himpunan Pembebasan Palestin pada 2024 dengan lebih 10,000 peserta, manakala Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza pada 2025 menghimpunkan lebih 20,000 peserta.

Beliau turut menekankan peranan media dalam memperluas penyebaran mesej solidariti, meningkatkan kesedaran masyarakat serta menggalakkan sokongan dan tindakan kemanusiaan secara berterusan.

Sehubungan dengan itu, seluruh rakyat Malaysia dipelawa menghadiri himpunan berkenaan, manakala pengamal media dialu-alukan membuat liputan menyeluruh bagi menyebarluaskan mesej solidariti Malaysia kepada masyarakat di dalam dan luar negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement