KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung insiden seorang lelaki didakwa dipukul ketika sedang membuat siaran langsung di Facebook di Jalan Pasar Baharu, Pudu, di sini, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, laporan pertama diterima pada jam 2.52 pagi daripada seorang lelaki berusia 44 tahun.
Menurut laporan itu, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika seorang aktivis didakwa membuat rakaman tanpa kebenaran pengadu sebelum mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.
Menurutnya, keadaan kemudian dipercayai tegang apabila pengadu didatangi rakan aktivis berkenaan yang didakwa menolak dan menumbuk bahagian rusuk kirinya.
"Pergaduhan kecil turut berlaku sebelum beberapa orang awam tampil meleraikan keadaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Ahmad Azwan turut mengesahkan menerima satu lagi laporan daripada aktivis terbabit pada hari sama. “Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Terdahulu, polis memaklumkan pihaknya mengesan pautan video tular berdurasi 39 saat yang dikongsikan di Facebook.
Video berkenaan memaparkan kejadian seorang lelaki didakwa dipukul ketika sedang bersiaran langsung di platform berkenaan.
Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak melakukan tindakan sendiri dan mematuhi undang-undang yang sedia ada.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur menerusi talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Media sebelum ini melaporkan dua aktivis Surplus didakwa mengalami kecederaan selepas diserang sekumpulan individu dalam kejadian di Pasar Pudu, awal pagi Ahad.
Kedua-dua aktivis yang dikenali sebagai Abe O Abe dan Abang Eja itu dilaporkan menerima rawatan di hospital susulan kejadian berkenaan.