Ringkasan AI
- Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, mendedahkan masih berhutang RM2,450 kepada UIAM untuk yuran penilaian tesis dan konvokesyen.
- Baginda menegaskan tiada layanan istimewa diterima sepanjang pengajian, perlu memenuhi semua syarat akademik seperti pelajar lain.
- Baginda menyifatkan kejayaan memperoleh Ijazah Sarjana di ISTAC-UIAM sebagai pencapaian bermakna dengan sokongan anakanda dan bercadang menyambung pengajian ke peringkat PhD.
KUALA LUMPUR: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencuri perhatian apabila secara berseloroh mendedahkan baginda masih ‘berhutang’ RM2,450 dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi yuran penilaian tesis dan konvokesyen, meskipun Senat sudah meluluskan penganugerahan ijazah Sarjana baginda.
Lebih mencuit hati, baginda pada awalnya menyangka semua bayaran pengajian sudah dilunaskan sebelum dimaklumkan masih terdapat baki tertunggak yang perlu dijelaskan bagi membolehkan transkrip akademik dikeluarkan.
Perkara itu dikongsikan baginda ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-42, di sini pada Sabtu, yang menyaksikan baginda menerima ijazah Sarjana daripada International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), universiti berkenaan.
“Saya bertanya, ‘Yuran? Bukankah saya sudah melunaskan semuanya?’
“Rupa-rupanya, saya masih berhutang RM2,200 untuk penilaian tesis dan RM250 bagi yuran konvokesyen. Sudah tentulah saya membayarnya.
“Jadi, saya boleh katakan kepada rakan-rakan graduan sekalian: saya memperoleh ijazah ini dengan usaha sendiri dan UIAM memastikan saya turut melunaskan yuran saya!” titah baginda.
Baginda turut menjelaskan meskipun Senat sudah meluluskan penganugerahan ijazah, transkrip akademik masih tidak dapat diperoleh selagi tunggakan yuran belum dijelaskan.
Dalam nada berseloroh, baginda berkata pengalaman itu membuktikan kedudukan sebagai Ketua Perlembagaan universiti tidak memberikan sebarang layanan istimewa sepanjang menjalani pengajian.
Sebaliknya, baginda perlu memenuhi segala keperluan akademik, menyiapkan tugasan serta melengkapkan dokumen sokongan seperti graduan lain.
Malah, ketika dicalonkan bagi Anugerah Tesis Terbaik, baginda turut perlu mengemukakan pelbagai bukti termasuk penerbitan, sitasi, penyertaan persidangan dan aktiviti pelajar.
Baginda menyifatkan proses berkenaan begitu panjang sehingga terasa seperti sedang memohon jawatan sebagai profesor.
Tengku Ampuan Pahang turut berkongsi hasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di ISTAC-UIAM, selepas berjaya memperoleh Ijazah Sarjana daripada institusi berkenaan.
Dalam ucapan sama, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada anakanda yang sentiasa memberikan dorongan sepanjang pengajian, termasuk mengingatkan baginda supaya tidak berhenti separuh jalan, menghadiri kelas dan menyiapkan tugasan.
Baginda berkongsi pesanan anakanda yang berbunyi:
“Jangan malukan kami, Mama. Jangan berhenti separuh jalan. Jangan ponteng kelas. Hantar tugasan Mama!”
Baginda menyifatkan kejayaan menamatkan pengajian itu sebagai pencapaian yang amat bermakna, lebih-lebih lagi apabila anakanda baginda turut memberikan sokongan dan memantau perjalanan akademiknya.