MALAYSIA
Himpunan 'Turun Anwar' bukti pembangkang ketandusan idea - Kamil Munim

Muhammad Kamil berkata angka dan laporan semasa jelas menunjukkan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi negara berada di landasan yang kukuh dan konsisten, lantas membenam dakwaan semberono mereka. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Himpunan 'Turun Anwar' yang dirancang Sabtu ini disifatkan sebagai manifestasi ketandusan idea Perikatan Nasional (PN) dalam menawarkan alternatif jelas kepada dakwaan kononnya kerajaan gagal mengurus ekonomi.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata angka dan laporan semasa jelas menunjukkan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi negara berada di landasan yang kukuh dan konsisten, lantas membenam dakwaan semberono mereka.
"Pertumbuhan, inflasi, kadar pengangguran, jumlah pelaburan dipersetankan terus dek kerana benci dan haloba.
"Ini bukti nyata betapa gagalnya mereka dalam berhujah, mengolah serta mengusulkan alternatif kepada pelbagai dasar baik yang telah kita terjemahkan," katanya menerusi ciapan di platform X hari ini.Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata ketika kepemimpinan negara berusaha gigih membangunkan ekonomi, pembangkang pula memilih untuk menghasut dan menabur kebencian.
'Malah, hingga kini mereka masih gagal menamakan calon yang boleh diketengahkan sebagai pengganti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan MADANI kekal menjunjung prinsip kebebasan bersuara, termasuk hak untuk berhimpun secara aman, selaras dengan jaminan yang diberikan Perdana Menteri bahawa tiada intimidasi daripada pihak berkuasa.
"Namun, berdemonstrasi semata-mata benci kepada batang tubuh Anwar Ibrahim menunjukkan betapa lemah, dangkal dan longlainya politik mereka dalam mendepani ketangkasan kita menterjemah hasrat dan kehendak rakyat saat ini," kata Kamil.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami