PUTRAJAYA: Mesyuarat bagi meneliti perancangan akhir sambutan Hari Malaysia 2026 di Kuching, Sarawak, akan diadakan 5 Sept ini, sebelum acara kemuncak berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 Sept.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata sambutan rasmi akan berlangsung pada sebelah malam, dengan pelbagai acara sisipan turut disusun di sekitar BCCK dan Plaza Merdeka bagi memeriahkan sambutan.
“Macam-macam acara akan diadakan dan telah disusun. Untuk maklumat lanjut rujuk Merdeka360,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berkata beliau percaya ramai rakyat Malaysia dari seluruh negara akan turut hadir memeriahkan sambutan berkenaan, yang turut menampilkan pameran mengenai sejarah pembentukan Malaysia selain pelbagai acara lain.
Beliau berkata acara utama di pusat konvensyen itu juga dijangka dapat memuatkan kira-kira 5,000 pengunjung termasuk kehadiran rakyat dari seluruh negara.
Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata lokasi berkenaan dipilih dalam mesyuarat pertama persiapan sambutan baru-baru ini oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah selaku Pengerusi Bersama sambutan Hari Malaysia tahun ini.
-- BERNAMA