Skip to main content

Malaysia

Hina Islam: Pengawal keselamatan warga Singapura dipenjara 14 hari, denda RM7,000

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas mengaku bersalah menghina agama Islam. -- SINAR HARIAN
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas mengaku bersalah menghina agama Islam.
Advertisement

JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan warga Singapura dihukum penjara 14 hari dan denda RM7,000 selepas mengaku bersalah menghina agama Islam di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Jumaat.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, Mohamed Anim Atam, 56, dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman penjara terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap pada 18 Ogos lalu.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Eizlan Azhar di hadapan Majistret A Shaarmini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebut kata-kata yang boleh melukakan perasaan agama mana-mana individu dengan merujuk kepada al-Quran.

Perbuatan itu didakwa dilakukan ketika berada dalam perjalanan dari Jalan Tun Razak hingga Jalan Meldrum, Johor Bahru, kira-kira jam 5 petang pada 30 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda memandangkan dia menghidap darah tinggi dan perlu hadir ke mahkamah kerana sedang dalam proses perceraian.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira perbuatan tertuduh yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja), selain rakaman kejadian yang tular di media sosial.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengeluarkan kenyataan berkenaan ketika menaiki kenderaan e-hailing sebelum pemandu terbabit, Muhamad Danial Haikal Nadzahakim, 29, memuat naik rakaman perbualan itu di media sosial.

Pengadu kemudian membuat laporan polis pada 31 Julai lalu sebelum tertuduh ditahan di kawasan Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Lingkaran Dalam, Bukit Cagar, kira-kira jam 4.15 petang, Selasa. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement