KUALA LUMPUR : Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menyertai mesyuarat pertama Forum Antarabangsa Kerjasama Vaksin jam 8 malam ini melalui platform maya.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan forum antarabangsa yang dianjurkan Kementerian Luar Negeri Republik Rakyat China akan dipengerusikan oleh TYT Wang Yi, Penasihat Negara dan Menteri Luar Negeri Republik Rakyat China.

"Perbincangan semasa mesyuarat tersebut akan tertumpu kepada usaha peningkatan kapasiti pengeluaran vaksin dan kerjasama teknologi vaksin agar ianya lebih mudah diperolehi pada harga yang berpatutan oleh negara-negara membangun, bagi memerangi pandemik COVID-19.

"Fokus ucapan Menteri Kanan Luar Negeri di mesyuarat tersebut akan menyentuh isu monopoli vaksin dan menekankan kepentingan pengagihan vaksin secara saksama.

"Beliau juga akan menegaskan mengenai keperluan segera bagi semua negara mendapat akses bagi perolehan vaksin kerana ia adalah kaedah terbaik menangani pandemik ini," jelas kenyataan itu lagi.


Wisma Putra | Forum antarabangsa kerjasama vaksin

Satu kenyataan bersama akan dikeluarkan sebagai hasil mesyuarat bagi mempamerkan kesatuan serta komitmen teguh negara-negara peserta dalam memerangi pandemik COVID-19 melalui kerjasama vaksin antarabangsa.

Malaysia dan Republik Rakyat China telah memeterai Perjanjian Kerjasama Pembangunan dan Akses Vaksin pada 18 November 2020.

Perjanjian tersebut membolehkan Malaysia membeli vaksin buatan China dan memulakan kolaborasi teknikal dengan negara tersebut dalam teknologi pembangunan vaksin, terutamanya bagi aspek persijilan halal.

Pada bulan Julai 2021, Republik Rakyat China telah menyumbang sebanyak 500,000 dos vaksin Sinovac kepada Malaysia sebagai menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).