Semua pihak perlu menghormati hak kerajaan untuk mengajar tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil selepas keputusan mahkamah yang membenarkan perkara itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof.

Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Khamis lalu yang menolak permohonan parti Gerakan supaya pengajaran tulisan Jawi tidak dibenarkan di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.

"Apabila Gerakan membawa kes ini ke mahkamah dan sudah diputuskan bahawa kementerian dan kerajaan berhak untuk mengajar jawi di sekolah-sekolah cina (dan tamil), maka kita perlu menghormati keputusan mahkamah itu.

"Ia bukan apa-apa keputusan politik, tetapi ia keputusan mahkamah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Akademik Antarabangsa: Menerokai Masa Depan Pendidikan, "Konsep, Metodologi dan Pragmatik" di sini, hari ini.

Pada September lepas, Gerakan telah memfailkan saman terhadap Kerajaan Pusat bagi mencabar keputusan kerajaan yang mahu melaksanakan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Gerakan yang memfailkan saman itu melalui Presidennya Dominic Lau Hoe Chai menamakan Menteri Pendidikan Maszlee Malik, Timbalannya Teo Nie Ching dan kerajaan Persekutuan sebagai responden.

Isu kahwin bawah umur

Mengulas mengenai perkembangan perkahwinan bawah umur pula, Mujahid berkata masih ada harapan untuk semua negeri-negeri di Malaysia meminda perundangan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun walaupun terdapat tujuh negeri yang tidak bersetuju meminda perundangan itu.

Jelasnya, ini kerana tujuh negeri itu masih bersetuju untuk memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) perundangan had umur perkahwinan itu.

"Walaupun sesetengah negeri tidak mahu letak had umur 18 (contohnya), mereka bersetuju untuk mengetatkan undang-undang itu. Jadi ini bermakna masih ada harapan dalam meyakinkan mereka bahawa lebih baik kita letakkan had umur 18 tahun sebagai ketetapan dalam undang-undang," tambahnya lagi.

Apabila ditanya sebab negeri-negeri itu tidak mahu meletakkan had umur, menteri itu berkata: "Isu itu terletak kepada kuasa negeri, saya tidak mahu memberi jawapan. Kena tanya negeri-negeri itu. Setiap negeri ada tafsiran sendiri dan kuasa untuk menetapkannya."

Setakat ini, hanya Selangor yang meminda enakmen had umur minimum perkahwinan ini manakala Wilayah Persekutuan dalam proses melakukan pindaan.

Lima negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak sebelum ini mengumumkan setuju untuk meminda undang-undang berkaitan had umur perkahwinan.

Tujuh negeri yang tidak bersetuju adalah Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan. Bagaimanapun, Kedah dilaporkan telah bersetuju untuk meminda enakmen berkaitan pada 22 Nov lalu.

Sementara itu, bersempena majlis hari ini, Mujahid berkata cabaran besar dalam misi pendidikan adalah bagaimana ia dapat beroperasi dalam suasana kepelbagaian di Malaysia.

"Kita harus fokus kepada menolak semua kepentingan kekelompokan dan kepuakan demi kepentingan dan kebaikan semua pihak melalui rundingan dan dialog berterusan.

"Mempertahankan apa yang kita anggap benar dan betul bukanlah isu sebenarnya tetapi pendekatan hikmah, sikap rahmah dan punya kebijaksanaan adalah cabaran sebenarnya," katanya.

-- BERNAMA