MALAYSIA
Hormati Jalur Gemilang tanggungjawab rakyat Malaysia - MB Perak

Saarani berkata menghormati Jalur Gemilang mencerminkan cara menghormati Malaysia kerana ia adalah wajah negara apabila pada setiap kibaran, terpantul maruah, sejarah dan masa depan rakyat. - Gambar fail/Bernama
IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata menghormati Jalur Gemilang adalah tanggungjawab rakyat Malaysia yang memahami erti sebuah negara merdeka.
Beliau berkata tindakan itu bukanlah disebabkan soal bangsa, warna kulit, agama mahupun kabilah kepartian.
"Apabila kita kibarkan Jalur Gemilang, biarlah dengan tertib dan beradab, jangan terbalik, jangan dibiarkan lusuh atau dibiarkan koyak... kalau salah cara pemasangan, sama-sama kita betulkan, kalau ada yang tidak faham, sama-sama kita beri pencerahan.
"Inilah tanda kita rakyat yang cakna, rakyat yang peduli," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Perak di sini malam ini.Saarani berkata menghormati Jalur Gemilang mencerminkan cara menghormati Malaysia kerana ia adalah wajah negara apabila pada setiap kibaran, terpantul maruah, sejarah dan masa depan rakyat.
"Setiap kali ia berkibar megah, biarlah hati kita turut berkobar dengan semangat merdeka, menyedarkan kita bahawa di bawah panji inilah kita bersatu, di bawah panji inilah kita berjuang dan di bawah panji inilah kita akan terus melangkah membina masa depan," katanya.
Beliau berkata semua rakyat perlu menjadikan sambutan Hari Kebangsaan sebagai ikrar yang hidup untuk terus menjaga keamanan, memupuk perpaduan serta membina negara dengan seluruh daya dan upaya.
"Jangan biarkan kemerdekaan ini hanya tercatat pada tarikh di kalendar, biarlah ia hidup di setiap denyut nadi kita... dengan nikmat keamanan itu, mudah-mudahan kita menjadi insan yang selalu bersyukur," katanya.
Saarani juga berkata banyak aktiviti menarik diadakan sepanjang majlis yang berlangsung sejak petang tadi antaranya pameran serta perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, Program Jualan Rahmah serta pertandingan busana anak merdeka daripada Tabika KEMAS.
Pengunjung turut disajikan dengan persembahan artis terkemuka tanah air antaranya Zamani Slam.
-- BERNAMA
Raikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan kempen Inilah KITA di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami