BUKIT MERTAJAM: Sebanyak RM163.67 juta zakat telah diagihkan kepada 38,698 asnaf di Pulau Pinang bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan institusi zakat negeri dalam membantu golongan memerlukan serta memperkasa sosioekonomi umat Islam.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata berkata jumlah agihan oleh Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) itu melebihi kutipan zakat yang direkodkan dalam tempoh sama, iaitu RM137.84 juta.
"Daripada jumlah agihan itu, RM19.18 juta disalurkan kepada 7,593 asnaf fakir, manakala RM34.20 juta lagi diberikan kepada 17,904 asnaf miskin.
"Secara keseluruhan, agihan kepada kedua-dua golongan ini berjumlah RM53.38 juta melibatkan 25,497 penerima bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini," katanya pada Konvensyen Ekonomi Umat Islam Pulau Pinang 2026 (KEUIPP'26) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh di sini hari ini.
Konvensyen bertemakan Transformasi Asnaf Melalui Zakat itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP Mohamad Kairi Ghazalli dan 700 peserta.
Mohamad, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Zakat MAINPP, berkata kutipan zakat negeri menunjukkan perkembangan positif apabila meningkat daripada RM130.86 juta pada 2020 kepada RM202.48 juta tahun lepas, iaitu pertumbuhan hampir 55 peratus dalam tempoh lima tahun.
Bagi 2025 sahaja, beliau berkata jumlah agihan zakat mencecah RM200.11 juta, meningkat kira-kira 23 peratus berbanding tahun sebelumnya dan memberi manfaat kepada 45,831 asnaf yang terdiri daripada individu serta institusi.
Beliau berkata peningkatan kutipan zakat membolehkan agihan dilaksanakan secara lebih meluas, sekali gus memperkukuh peranan zakat sebagai instrumen strategik dalam merangsang pembangunan sosioekonomi umat Islam di negeri ini.
Mengenai KEUIPP'26, Mohamad berkata ia menjadi platform menghimpunkan ilmuwan, pemain industri serta pakar dalam bidang zakat dari dalam dan luar negara bagi bertukar pandangan serta merangka idea baharu yang boleh diterjemahkan kepada pelaksanaan dasar serta program pembangunan ummah.
Beliau berkata hasil perbincangan konvensyen itu diharap dapat menyumbang kepada pelaksanaan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI 2030), khususnya teras pertama yang memberi penekanan kepada pembangunan sosioekonomi umat Islam di Pulau Pinang.
Konvensyen itu turut menampilkan pembicara daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah, Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman serta tokoh akademik dari Indonesia, selain Senator Dewan Negara Datuk Seri Dr Nor Inayah.
Dalam pada itu, Mohamad menggariskan tiga amanat utama kepada Zakat MAINPP dan semua pihak berkaitan, iaitu memperkukuh sistem perlindungan serta pembangunan asnaf secara bersepadu, membina jaringan pemerkasaan ekonomi yang mempunyai hubungan langsung dengan pendidikan, industri dan pasaran, serta menjadikan penilaian impak sebagai ukuran keberhasilan setiap program.
"Ekosistem zakat negeri turut menyokong pembangunan pendidikan apabila RM6.51 juta diperuntukkan pada 2025 bagi penyediaan 8,740 peranti tablet di 263 sekolah, selain RM20 juta bagi skim dermasiswa untuk membantu pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, Mohamad Kairi berkata Zakat MAINPP terus memperkukuh pendekatan transformasi asnaf menerusi empat peringkat utama, antaranya bantuan asas, pemerkasaan, peningkatan dan kemandirian bagi membantu penerima membina kehidupan lebih stabil mengikut keperluan serta kemampuan masing-masing.
Beliau berkata pendekatan itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada bantuan keperluan asas seperti makanan, sara hidup, tempat tinggal dan rawatan kesihatan, malah turut merangkumi pendidikan, latihan kemahiran, peluang pekerjaan serta sokongan keusahawanan bagi membolehkan penerima menjana pendapatan sendiri.
"Zakat MAINPP turut memperkukuh pembangunan ekonomi asnaf menerusi bantuan modal, latihan kemahiran dan bimbingan keusahawanan termasuk melahirkan penerima bantuan yang berjaya meningkatkan taraf hidup sehingga menjadi pembayar zakat atau muzakki," katanya.
Beliau berkata kerjasama dengan institusi pendidikan, pusat latihan kemahiran, agensi kerajaan dan sektor industri juga terus diperkukuh bagi menyediakan peluang latihan, penempatan pekerjaan, bimbingan perniagaan serta akses pasaran kepada golongan asnaf.
-- BERNAMA