KOTA KINABALU: Sebuah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia(ATM) Tawau ditukar fungsi menjadi Pusat Rawatan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC) untuk merawat pesakit yang dikategorikan kepada peringkat satu hingga tiga.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata ini menjadikan 24 PKRC  beroperasi di Sabah dan sembilan hospital rawatan COVID-19 di negeri itu setakat ini.

"Secara keseluruhan, purata pengisian katil di dalam hospital COVID-19 seluruh Sabah adalah 42.95 peratus.

"Jumlah pengisian tertinggi adalah di Hospital Tawau sebanyak 55.76 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan tahap kapasiti hospital rawatan di negeri Sabah menerusi kenyataan WhatsApp kepada Astro AWANI pada petang ini.

Mengulas lanjut, Masidi menjelaskan pemantauan terhadap kapasiti dijalankan dari masa ke semasa bagi menghadapi peningkatan kes secara mendadak.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bersama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah merancang kesiapsiagaan menghadapi peningkatan kes dengan mengenalpasti lokasi-lokasi yang boleh dijadikan sebagai PKRC tambahan dengan lebih awal," katanya.

Tambah Masidi, pihaknya telah menyediakan 193 alat bantuan pernafasan (ventilator) dengan penggunaan mencecah 38.3 peratus direkodkan setakat ini.

"Diharapkan supaya rakyat negeri Sabah akan bersatu memberi sokongan penuh kepada Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan dengan mendaftar sebagai penerima vaksin.

"Kajian telah membuktikan bahawa vaksinasi akan dapat mengurangkan kesan komplikasi COVID-19 yang teruk seperti kegagalan pernafasan yang memerlukan sokongan alat bantuan pernafasan dan kematian," katanya.

Terdahulu, semalam, ASTRO AWANI melaporkan keadaan  penggunaan katil untuk pesakit COVID-19 di Hospital Tawau berada di tahap maksimum susulan jumlah peningkatan kes di daerah itu baru-baru ini.

Untuk rekod, Hospital Tawau menyediakan sebanyak 150 katil bagi rawatan pesakit COVID-19 dan mencapai tahap penggunaan kira-kira 90 peratus.