KUALA LUMPUR: Hospital Melaka menafikan dakwaan pemberian vaksin COVID-19 melibatkan kumpulan bukan terdiri daripada petugas barisan hadapan seperti yang tular di laman sosial.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Hospital Melaka menegaskan bahawa Fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di hospital itu dijalankan secara berperingkat.

"Hospital Melaka merujuk kepada paparan Facebook milik Tan Tser Ming bertarikh 27 Februari 2021 berhubung isu pengagihan dan pemberian vaksin COVID-19 di Hospital Melaka, serta isu pengagihan vaksin bagi petugas Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka (ETDHM).

"Hospital Melaka dengan tegas menafikan kenyataan tular yang mendakwa bahawa pemberian vaksin COVID-19 adalah melibatkan kumpulan yang bukan terdiri daripada petugas barisan hadapan (frontliners).

"Untuk makluman, bagi Fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Hospital Melaka menerima agihan vaksin COVID-19 secara berperingkat.

"Agihan pertama sebanyak 1,500 penerima akan bermula pada 2 Mac 2021 dan agihan kedua sebanyak 1,500 penerima lagi dijangka bermula pada 16 Mac 2021," jelas kenyataan itu.

Secara keseluruhan, sejumlah 3,000 kakitangan akan menerima vaksin COVID-19 iaitu meliputi 70 peratus daripada jumlah keseluruhan petugas Hospital Melaka.

Katanya, pemberian vaksin COVID-19 untuk lain-lain kakitangan akan diteruskan merangkumi mereka yang bukan dalam kategori petugas barisan hadapan pada fasa seterusnya.

"Pemberian vaksin COVID-19 di Hospital Melaka adalah melibatkan petugas barisan hadapan yang merawat dan menguruskan pesakit COVID-19.

"Ia termasuk kakitangan yang terlibat dalam mobilisasi perawatan pesakit di wad-wad COVID-19 Hospital Melaka, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) dan Mass Screening Area (MSA).

"Selain itu, penerima juga adalah terdiri daripada pasukan pemberi vaksin (Vaccinator) bagi Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Hospital Melaka," jelas kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan itu lagi, semua kakitangan ETCHM akan menerima vaksin masing-masing kecuali kakitangan yang menolak vaksinasi kerana mempunyai sejarah jangkitan COVID-19 sebelum ini.

"Seramai 241 kakitangan ETDHM terdiri daripada Pakar, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan dan kategori perjawatan lain telah disenaraikan untuk menerima vaksin pada Agihan Pertama Fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Hospital Melaka.

"Manakala, baki 100 kakitangan termasuk 53 orang Pegawai Perubatan Siswazah telah disenaraikan dalam Agihan Kedua Fasa 1," jelas kenyataan itu.

Pemilik sebuah akaun Facebook dalam satu entrinya pada 27 Februari lalu berkongsi satu mesej mendakwa bahawa hanya 1,500 daripada 4,000 petugas barisan hadapan di Hospital Melaka menerima vaksin COVID-19.