NATIONAL
Hospital Seberang Jaya jadi pusat rujukan kardiologi, kardiotorasik pediatrik zon utara

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua, kiri) bersama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (empat, kanan) melakukan lawatan pada Majlis Penyerahan Projek Siap Blok Tambahan Hospital Seberang Jaya hari ini. - Bernama
BUTTERWORTH: Hospital Seberang Jaya di sini akan menjadi pusat rujukan utama zon utara bagi perkhidmatan Kardiologi dan Kardiotorasik Pediatrik sekali gus mengurangkan keperluan rujukan ke Hospital Pulau Pinang.
Ringkasan AI
- Hospital Seberang Jaya akan menjadi pusat rujukan utama zon utara bagi perkhidmatan Kardiologi dan Kardiotorasik Pediatrik, mengurangkan keperluan rujukan ke Hospital Pulau Pinang dan mempercepatkan akses rawatan pakar.
- Blok tambahan setinggi sembilan tingkat meningkatkan kapasiti hospital kepada 729 katil dan 11 dewan bedah, serta membolehkan pengoperasian perkhidmatan subkepakaran seperti ENT, Kardiologi Pediatrik, dan Perubatan Rehabilitasi.
- Sebanyak 36 projek pembangunan kesihatan akan dilaksanakan di Pulau Pinang, termasuk pembangunan klinik kesihatan yang tertangguh, dengan nilai kos keseluruhan RM165 juta di bawah Rolling Plan 5 (RP5), RMK12.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Blok Bertingkat Hospital Seberang Jaya di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Dzulkefly berkata blok tambahan setinggi sembilan tingkat itu meningkatkan kapasiti keseluruhan Hospital Seberang Jaya kepada 729 katil dan 11 dewan bedah yang akan mula beroperasi secara berperingkat mulai 5 Mei ini.
Beliau berkata fasiliti baharu tersebut juga membolehkan pengoperasian perkhidmatan subkepakaran seperti Otorinolaringologi (ENT), Kardiologi Pediatrik dan Perubatan Rehabilitasi.
Projek berkenaan telah dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2016 dengan kos kontrak asal bernilai RM371 juta yang dibuat secara reka dan bina
Sementara itu, Dzulkefly memaklumkan 17 projek pembangunan baharu di Pulau Pinang akan dilaksanakan di bawah Rolling Plan 5 (RP5), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos RM9.42 juta sementara 19 projek sambungan bawah RMK10, RMK11 dan RP4, RMK12 dengan nilai RM155 juta.
Beliau berkata secara keseluruhan 36 projek akan dilaksanakan di Pulau Mutiara itu dengan nilai kos RM165 juta.
Selain itu, beliau berkata beberapa projek klinik kesihatan (KK) di negeri ini juga perlu diberi keutamaan, antaranya KK3 Bandar Tasek Mutiara yang tertangguh hampir setahun dan kini disambung semula serta KK3 Mak Mandin, yang telah diluluskan sejak 2023 tetapi masih belum dimulakan.
"KK2 Bayan Lepas pula, yang mendapat kelulusan khas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kos RM72 juta, perlu menunjukkan kemajuan memberangsangkan," katanya.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami