LANGKAWI: Hospital Sultanah Maliha, di sini akan menjadi Hospital Pakar Major selepas projek pembinaan bangunan tambahan hospital itu dengan peruntukan RM515.35 juta siap sepenuhnya pada Julai 2025.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata hospital itu akan mempunyai 330 katil berbanding 110 katil sedia ada serta jumlah perjawatan akan meningkat kepada 1,903 orang daripada 557 orang iaitu pertambahan sebanyak 1,346 anggota.

Beliau berkata enam dewan bedah termasuk kerja infrastruktur, tempat letak kereta bertingkat, 40 unit kuarters kakitangan hospital, peralatan perubatan dan bukan perubatan serta peralatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) antara yang akan disediakan dalam bangunan baharu itu nanti.

"Projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha ini telah diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dengan kos keseluruhan RM515.35 juta.

"Projek ini telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) pada 16 Dis 2021 dan tarikh milik tapak adalah pada 20 Jan 2022," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek itu yang disempurnakan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Hadir sama Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Khairy berkata pembinaan bangunan baharu itu mengikut spesifikasi antarabangsa yang akan menjadi seperti hospital swasta sekali gus dapat menyediakan sistem kesihatan awam bertaraf antarabangsa di pulau pelancongan itu.

Hospital Sultanah Maliha akan jadi hospital utama

Sehubungan itu, beliau mengharapkan fasiliti baharu itu nanti akan dapat meningkatkan lagi tahap kesihatan rakyat Malaysia dalam usaha kerajaan menyediakaan sistem penyampaian penjagaan kesihatan yang memenuhi keperluan rakyat.

"Projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha ini adalah selaras dengan Tema Dua, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu Memperkukuhkan Keselamatan, Kesejahteraan dan Inklusiviti," katanya.

Pada sidang media selepas majlis itu, Khairy berkata bangunan baharu itu akan dilengkapi kemudahan penyaman udara bagi wad kelas tiga demi memastikan keselesaan pesakit serta ahli keluarga selain kakitangan hospital termasuk jururawat yang bertugas di wad berkenaan.

"...saya nak umumkan Hospital Sultanah Maliha akan menjadi hospital awam pertama mempunyai wad kelas ketiga berhawa dingin dan saya akan mohon semua (pembinaan) hospital baharu selepas ini, pun ada penyaman udara (bagi wad kelas tiga)," katanya.

Selain itu, Khairy berkata wad untuk penyakit berjangkit turut akan disediakan melalui projek bangunan tambahan itu memandangkan terdapat populasi migran di Langkawi yang kemungkinan berisiko merebaknya penyakit berjangkit.

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya akan segera menyediakan ambulans laut selain akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk perkhidmatan helikopter dalam tempoh terdekat bagi meningkatkan kemudahan kesihatan di pulau itu.

"Antara lain, saya dah meluluskan penubuhan 'Pediatric High Dependency Unit' (PHDU) di Hospital Sultanah Maliha ini yang bertujuan memberikan rawatan kepada pesakit pediatrik yang memerlukan rawatan intensif," katanya.

Khairy juga berkata kementeriannya juga mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk mewujudkan Jabatan Forensik dan kemudahan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di Hospital Sultanah Maliha selain merancang untuk membina Klinik Kesihatan di Pulau Tuba, dekat sini.

"Di Pulau Tuba sekarang hanya ada klinik desa... prosesnya bila kita dah kenal pasti tapak, maka kita kena masukkan dalam apa yang dikenali sebagai rolling plan... kita sudah kenal pasti tanah, tanah itu saya difahamkan tanah (milik) Jabatan Bomba, kita akan bincanglah dengan Jabatan Bomba," katanya.

-- BERNAMA