KUALA LUMPUR: Persatuan Hospital Swasta Malaysia menegaskan bahawa harga siling ujian saringan COVID-19 yang ditetapkan kerajaan tidak termasuk bayaran penggunaan perubatan lain seperti PPE dan konsultasi dengan pengamal perubatan.

Menurut presidennya, Datuk Dr Kuljit Singh,  perkara ini disahkan dalam surat daripada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 1 Jun 2021 kepada semua makmal perubatan swasta.

Malah katanya, hospital swasta akan memaparkan harga akhir bagi ujian saringan COVID-19 termasuk bayaran makmal dan lain-lain bayaran untuk panduan kepada orang awam membuat pilihan.

Ini bagi memudahkan orang awam memahami bayaran tambahan yang dikenakan hospital swasta ke atas harga siling yang ditetapkan kerajaan.

Bayaran tambahan itu adalah untuk menanggung kos tambahan terhadap perkhidmatan, penghantaran sampel, keputusan pengesanan dan peralatan perlindungan kepada petugas kesihatan.

Ketika ini kerajaan menetapkan harga siling untuk ujian Rt-PCR pada harga RM150; rapid molecular yang membolehkan ujian diperoleh dengan pantas pada harga RM270, RTK antigen  pada harga RM60 dan ujian pantas mengesan antibodi pada kadar RM50, di semenanjung.

manakala, harga siling Rt-PCR di Sabah dan Sarawak pula ditetapkan pada harga RM200, rapid molecular (RM350), RTK-Antigen RM80 dan ujian pantas antibodi RM70.