KUALA LUMPUR: Advanced Surgical Skills Centre (ASSC) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi pusat latihan kemahiran pembedahan pertama di luar United Kingdom (UK) menerima Akreditasi dari The Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) bagi tempoh lima tahun.

Akreditasi penuh yang berkuat kuasa dari 7 April 2022 sehingga 7 April 2027 ini merupakan kesinambungan dari akreditasi yang telah diterima pada tahun 2019.

Ia selepas kejayaan ASSC mencapai dan mengekalkan standard latihan yang diperlukan dalam sistem penjagaan kesihatan di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, penerimaan tersebut merupakan pencapaian yang membanggakan bagi HCTM dan UKM kerana RCSEd merupakan antara kolej pembedahan yang berprestij dan tertua di dunia.

“Tahniah kepada ASSC kerana berjaya memenuhi piawaian RCSEd bagi mendapatkan akreditasi penuh sebagai pusat latihan kemahiran pembedahan.

“Alhamdulillah, kemudahan prasarana yang canggih dan bertaraf antarabangsa serta kebolehupayaan mengendalikan kursus yang pelbagai di ASSC telah mendapat pengiktirafan dari RSCEd.

“UKM akan terus menyokong kerjasama ASSC dan rakan strategik dalam usaha mereka untuk mengukuhkan lagi bidang pendidikan tinggi berkualiti di Malaysia agar mencapai hasrat negara serantau dan global.

“Pihak kami sentiasa komited menerajui pembangunan untuk melahirkan masyarakat dinamik dan berpengetahuan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Tambah beliau, ASSC terlibat secara langsung dalam pengajaran pra siswazah, pasca siswazah dan kajian klinikal berkaitan dengan bidang surgeri.

Beliau juga menjelaskan, pusat ini juga menjadi hab latihan bagi pelajar, doktor pakar dan petugas kesihatan di luar HCTM.

Sementara itu, Presiden RSCEd, Profesor Michael Griffin mengucapkan tahniah kepada ASSC kerana berjaya menyediakan kelengkapan berteknologi tinggi dan peralatan terkini untuk melatih dan menggilap kemahiran para doktor dan pelajar.