HPPK iktiraf usahawan mikro tulang belakang perdagangan

Orang ramai mengambil peluang berbelanja sempena Karnival HPPK 2025 yang berlangsung di Lurah Semantan hari ini. - Gambar Bernama
TEMERLOH: Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK 2025) hari ini adalah pengiktirafan terhadap komuniti usahawan mikro yang menjadi tulang belakang perdagangan rakyat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata lokasi sambutan, iaitu di Pekan Sehari di sini juga menjadi simbol kebangkitan penjaja dan peniaga kecil yang memacu ekonomi MADANI.
"Setiap Ahad, lebih 700 penjaja menghidupkan suasana Pekan Sehari Temerloh, mereka inilah wajah sebenar ekonomi rakyat yang bekerja keras, berdaya tahan dan sentiasa mencari rezeki dengan cara sendiri.
"Sambutan kali ini turut disertai lebih 800 usahawan termasuk peserta Satu Daerah Satu Industri (SDSI), penjaja tempatan serta 50 usahawan dari negeri Pahang," katanya ketika berucap pada majlis penutupan HPPK 2025 di sini hari ini yang turut dihadiri timbalannya Datuk Seri R. Ramanan.
Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Ewon berkata menerusi penganjuran berkenaan, komuniti penjaja dan peniaga kecil berpeluang mendapat maklumat terus daripada agensi di bawah kementeriannya berkaitan pembiayaan, latihan serta bimbingan keusahawanan.
"Ini satu pendekatan baharu bagi memastikan dasar yang digubal benar-benar menyentuh keperluan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keprihatinan terhadap komuniti ini melalui peningkatan peruntukan TEKUN Nasional kepada RM550 juta serta RM100 juta di bawah Insentif Kadar Faedah Penskalaan PMKS.
Secara keseluruhan kerajaan memperuntukkan RM50 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk penjaja dan peniaga kecil.
Beliau berkata pihaknya akan terus turun padang mendekati penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara supaya pembuat dasar lebih memahami denyut nadi mereka.
"Komuniti penjaja ini bukan sekadar peniaga di tepi jalan, tetapi mereka ialah wajah sebenar Malaysia bekerja, berjuang dan berdikari.
"Justeru, saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan peruntukan khas bagi sambutan HPPK pada tahun-tahun akan datang supaya ia terus menjadi wadah pemerkasaan ekonomi rakyat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


