Skip to main content

Malaysia

HRPB berjaya laksana prosedur derma organ pesakit lelaki berusia 64 tahun

π—¦π—˜π——π—˜π—žπ—”π—› π—žπ—˜π—›π—œπ——π—¨π—£π—”π—‘:  𝗛𝗔π—₯𝗔𝗣𝗔𝗑 𝗕𝗔𝗛𝗔π—₯𝗨 π— π—˜π—Ÿπ—”π—Ÿπ—¨π—œ π—£π—˜π—‘π——π—˜π—₯𝗠𝗔𝗔𝗑 𝗒π—₯π—šπ—”π—‘ π——π—œ π—›π—’π—¦π—£π—œπ—§π—”π—Ÿ π—₯𝗔𝗝𝗔 π—£π—˜π—₯π— π—”π—œπ—¦π—¨π—₯π—œ π—•π—”π—œπ—‘π—¨π—‘ Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) ingin memaklumkan bahawa satu kes pendermaan organ telah berjaya diselaraskan melibatkan seorang pesakit lelaki berusia 64 tahun yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB. kredit : Facebook Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak
HRPB memaklumkan bahawa proses perolehan organ mengambil masa melebihi enam jam, dengan prosedur perolehan buah pinggang mengambil masa hampir empat jam sebelum diteruskan dengan proses perolehan tisu mata. - Facebook HRPB
Advertisement

IPOH: Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) memaklumkan berjaya menyelaraskan satu kes pendermaan organ, melibatkan seorang pesakit lelaki berusia 64 tahun yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB, semalam.

HRPB dalam satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa usaha pendermaan organ itu, bermula melalui pendekatan pasukan Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Jabatan Neurosurgeri kepada keluarga pesakit. 

β€œSetelah diberikan penerangan dan memahami proses yang terlibat, pihak keluarga dengan penuh keikhlasan telah memberikan persetujuan bagi pendermaan organ.

"Hasil penilaian dan proses koordinasi pendermaan, buah pinggang dan tisu mata telah dikenal pasti untuk didermakan,” menurut hantaran itu.

Hantaran itu memaklumkan bahawa proses perolehan organ mengambil masa melebihi enam jam, dengan prosedur perolehan buah pinggang mengambil masa hampir empat jam sebelum diteruskan dengan proses perolehan tisu mata.

Menurut HRPB, tempoh yang panjang itu mencerminkan ketelitian, kesabaran dan komitmen pasukan yang terlibat, dalam memastikan organ dan tisu yang sesuai dapat didermakan kepada mereka yang sedang menanti.

Proses itu turut diselaraskan dengan kerjasama Unit Perolehan Organ (UPOH) HRPB bersama-sama pasukan klinikal dan sokongan yang terlibat, bagi memastikan keseluruhan urusan pendermaan dapat dilaksanakan dengan lancar.

β€œPihak HRPB merakamkan ucapan takziah kepada keluarga penderma serta setinggi tinggi penghargaan atas keikhlasan dan ketabahan mereka dalam membuat keputusan yang amat besar ini.

β€œDalam kesedihan kehilangan insan tersayang, keluarga telah memilih untuk memberikan peluang kepada pesakit lain untuk meneruskan kehidupan.

β€œKeputusan yang lahir daripada keikhlasan ini, bukan sahaja memberi makna kepada sebuah kehilangan, malah membuka ruang kepada harapan baharu untuk mereka yang sedang menanti, menurut hantaran itu.

HRPB turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan National Transplant Resource Centre (NTRC), pasukan Urologi daripada Hospital Selayang, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sultanah Bahiyah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement