MALAYSIA
Hubungan akrab Malaysia-Vietnam antara pemangkin perkukuh rantau ASEAN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pertemuannya bersama Pengerusi Dewan Negara Vietnam Tran Thanh Man hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Hubungan akrab antara Malaysia dan Republik Sosialis Vietnam akan sentiasa menjadi antara pemangkin dalam memperkukuh rantau ASEAN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan rapat Malaysia-Vietnam akan terus diperkukuh dalam sektor dagang, pelaburan, tenaga dan halal, selain menyokong penyertaan Timor-Leste ke ASEAN.
- Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Speaker Milli Majlis Azerbaijan Sahiba Gafarova bagi memperluas kerjasama dalam bidang tenaga, pelancongan, halal, pembinaan dan mineral.
- Malaysia komited memainkan peranan sebagai kuasa penengah di pentas geopolitik dengan mengutamakan diplomasi, keamanan dan keadilan antarabangsa.
"Melalui pertukaran amalan terbaik dalam perundangan, tadbir urus dan reformasi, kita berjaya memperkuat asas-asas demokratik serta memperluas ufuk kerjasama," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata mereka juga satu suara dalam mendukung penyertaan Timor-Leste ke dalam keluarga majmuk ASEAN.
"Usaha ini melambangkan kesatuan rantau kita, yang bukan sahaja berpaksi pada kepentingan ekonomi, malah turut mencakup idealisme, solidariti dan semangat kebersamaan di rantau Asia Tenggara," katanya.
Dalam hantaran berasingan, Anwar memuat naik mengenai pertemuan beliau dengan Speaker Milli Majlis (Perhimpunan Parlimen) Azerbaijan Sahiba Gafarova petang tadi dan menzahirkan tekad kedua-dua negara untuk mempererat hubungan Malaysia-Azerbaijan yang terjalin sejak 1993.
Malaysia, katanya melihat Azerbaijan sebagai rakan strategik yang mempunyai potensi besar khususnya dalam bidang tenaga, pelancongan, industri halal serta kerjasama dalam sektor pembinaan dan mineral.
"Ini landasan yang akan kita mantapkan demi manfaat rakyat kedua-dua negara. Saya menyanjung peranan Azerbaijan dalam mengangkat agenda keamanan serantau, termasuk melalui Washington Framework for Peace baru-baru ini," katanya.
Perdana Menteri berkata kepemimpinan mereka di pentas antarabangsa, khususnya dalam Rangkaian Parlimen Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) memperlihatkan diplomasi tidak hanya jalur untuk meleraikan konflik, tetapi menjadi aparat (alat) untuk menegak keadilan dan kemanusiaan.
"Justeru, kerajaan akan terus menjambatani Timur dan Barat melalui pendekatan dan seni diplomasi kenegaraan. Dalam dunia yang terus berantakan hari ini, Malaysia memilih untuk menjadi suara dan kuasa penengah (mid-tier power) di pentas geopolitik ke arah dunia yang lebih aman dan seimbang," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami